“Anak tidak pandai berenang, tapi dia tetap mahu selamatkan rakan. Rakan selamat tapi dia yang lemas.”
Demikian luahan pilu ibu kepada mangsa lemas, Muhammad Naim Mohd Zahir Alam, 12, Maizatuakma Zakaria, 46, ketika ditemui di lokasi kejadian di sungai berhampiran Jambatan Bunut Payung, Jalan Kuala Krai–Kota Bharu, Rabu.
Menurut kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan itu, anaknya datang ke sungai berkenaan bersama tiga rakan sebayanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 3.
Muhammad Naim dikatakan tidak sempat menukar pakaian seragam sekolah, malah belum sempat makan dan minum sebelum terus ke sungai selepas diajak rakan-rakan.
Katanya, ketika mandi, dua daripada rakan mangsa dipercayai hampir lemas. Muhammad Naim kemudian turun ke dalam air untuk menyelamatkan rakannya walaupun sempat dihalang oleh seorang lagi rakan, namun dia tetap berbuat demikian sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan.
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemukan jenazah mangsa pada jam 5.25 petang.
Maizatuakma berkata, arwah merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan sangat rapat dengan bapanya, Mohd Zahir Alam, 47.
BERKAITAN: Kanak-Kanak 12 Tahun Lemas Ketika Cuba Selamatkan Dua Rakan di Kota Bharu
Beberapa hari sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun ibunya yang menghantarnya ke sekolah sedangkan sebelum ini dia berbasikal.
Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana arwah pernah meminta dibelikan baju pendidikan jasmani yang baharu, namun permintaan itu belum sempat ditunaikan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
