HPUSM Kubang Kerian Miliki Unit Rawatan Strok Terbesar Di Semenanjung Malaysia

Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini dilengkapi dengan Unit Rawatan Strok terbesar di Semenanjung Malaysia, sekali gus menawarkan rawatan reperfusi strok secara lengkap kepada pesakit.

Timbalan Pengarah Operasi HPUSM, Prof Dr Imran Yusoff berkata, penubuhan unit berskala besar itu selari dengan keperluan hospital yang menerima antara 900 hingga 1,000 pesakit strok iskemia setiap tahun.

Menurutnya, Unit Rawatan Strok HPUSM menyediakan rawatan reperfusi menyeluruh termasuk trombolisis bagi mencairkan darah beku serta trombektomi untuk mengeluarkan darah beku, selain menawarkan program rehabilitasi strok yang komprehensif.

“Unit Rawatan Strok HPUSM yang terletak di Wad 1 Selatan ini merupakan satu-satunya wad khusus untuk pesakit strok di Kelantan dan yang terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Ia dilengkapi dengan 18 katil, merangkumi 14 katil rawatan strok akut dan empat katil rehabilitasi strok, selain tujuh katil tambahan di Unit Separa Kritikal (HDU) Neurologi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Isnin selepas Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi di Wad 1 Selatan HPUSM, Kubang Kerian, yang turut dihadiri Pakar Perubatan Neurologi, Prof Madya Dr Sanihah Abdul Halim.

Mengulas lanjut, Dr Imran berkata rawatan di unit berkenaan turut disokong oleh penggunaan teknologi pengimejan moden seperti Magnetic Resonance Imaging (MRI) serta CT Perfusion (CTP) khusus untuk strok, yang membolehkan diagnosis dibuat dengan lebih cepat dan tepat.

Menurutnya, keseluruhan penubuhan unit itu menelan kos kira-kira RM680,000 dan diharapkan mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit strok di negeri ini.

Sementara itu, Dr Sanihah berkata pihak hospital turut merekodkan peningkatan kes strok melibatkan golongan muda berusia antara 20 hingga 30-an, yang dikaitkan dengan beberapa faktor risiko kesihatan.

“Dahulu strok sering dikaitkan dengan warga emas, namun kini semakin ramai golongan muda diserang penyakit ini, terutamanya mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi, obesiti dan kolesterol tinggi.



“Mengikut nisbah, satu daripada empat individu berisiko mendapat strok, dan pesakit perlu mendapatkan rawatan segera, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam selepas serangan, bagi memastikan hasil rawatan yang lebih baik,” katanya.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Tak Mahu Susahkan Keluarga, Lelaki Sakit Kronik Nekad Tinggal Dalam Hutan Di Rantau Panjang
|
Seorang lelaki sanggup tinggal bersendirian di sebuah bangsal usang…
[VIDEO] Treler Hilang Kawalan Himpit Pikap Di LPT2, Bapa Maut Dua Anak Cedera
|
Satu kemalangan tragis melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Pantai…
Treler Terbabas Melintang Jalan, Trafik Sesak 7 Kilometer Di Gua Musang
|
Awal pagi tadi, pengguna jalan raya di laluan Gua…
Tiada Pesta Air, Singapura Tarik Pelancong Dengan Dikir Barat
|
Tatkala Kuala Lumpur sibuk dengan kemeriahan Festival Rain Wave…
Polis Kelantan Berjaya Selesaikan Kes Pelajar Ditikam Kurang Dari 24 Jam
|
Kes pembunuhan tragis membabitkan seorang pelajar kolej wanita berusia…
“Hedonisme Melampau Bukan Budaya Malaysia” – Exco Kelantan Kritik Pesta Air Bukit Bintang
|
Isu penganjuran Pesta Air Bukit Bintang yang didakwa mencetuskan…
Jawatan Kosong Kelantan