Kehadiran seorang pelajar perempuan bersaiz kanak-kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Beluru Komprehensif 11 menarik perhatian pada hari pertama sesi persekolahan.
Siti Nor Najwa Zulkaifli, 19, yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), mempunyai berat sekitar 15 kilogram dan berketinggian kira-kira 0.9 meter akibat kecacatan fizikal sejak kecil melibatkan ketumbuhan tulang yang tidak normal.
Menurut ibunya, Siti Rasyidah Mamat, 49, anak kedua daripada lima beradik itu teruja untuk memulakan persekolahan dan bangun awal pagi bagi membuat persiapan.
“Najwa hanya dibelikan kasut sekolah baharu manakala pakaian seragamnya masih boleh dipakai kerana saiz tubuhnya tidak banyak berubah,” katanya.
Siti Rasyidah berkata, anaknya itu turut teruja mengenakan pakaian sekolah sebelum dihantar bersama adiknya, Muhammad Rizqi, 7, yang bersekolah di sekolah sama dengan menaiki bot penambang dari rumah mereka di Pulau Tongkang.
Menurutnya, walaupun mengenakan seragam sekolah menengah, keadaan fizikal Najwa sering menjadi perhatian orang ramai.
Katanya lagi, Najwa tidak boleh terlalu aktif kerana mudah mengalami sesak nafas selain menghadapi kekangan pergerakan, menyebabkan remaja itu perlu ditemani guru sekiranya ingin ke tandas.
“Dalam seminggu, sehari atau dua hari Najwa tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan masalah kesihatannya. Dia juga tidak tinggal di asrama dan perlu berulang-alik menaiki bot penambang setiap hari,” katanya.
Siti Rasyidah turut memaklumkan seorang lagi anaknya, Muhammad Idham, yang menghidap penyakit sama, meninggal dunia pada 2021 ketika berusia 10 tahun.
Menurutnya, tahun ini merupakan tahun terakhir Siti Nor Najwa bersekolah.
Sumber: Harian Metro
