Guru mengaku tidak bersalah, 11 pertuduhan libatkan sembilan murid lelaki
Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal, meliwat serta melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki.
Tertuduh, Mohamad Sulong, 52, yang masih bujang, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut tujuh pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 12 tahun dengan maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, Tawang dekat Bachok, selain beberapa lokasi dalam sebuah sekolah termasuk bilik koperasi, bilik pengurusan sukan dan bilik makmal komputer, antara April 2024 hingga 1 Julai lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kedai koperasi sebuah sekolah di sini, masing-masing sekitar jam 9.45 pagi pertengahan 2024 dan jam 4.30 petang pada Julai 2024.
Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat.
Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun empat bulan di bilik pengurusan sukan sebuah sekolah, kira-kira jam 5 petang pada Februari dan Mei lalu.
Untuk pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 377B dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang turut membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan memandangkan kes membabitkan 11 pertuduhan dan sembilan mangsa berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan munasabah dengan syarat ketat supaya tertuduh dapat kembali bertugas sebagai penjawat awam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM55,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, selain syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.
Sumber: Berita Harian
