Polis berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal memproses dadah dipercayai didalangi sindiket antarabangsa menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menahan enam individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun dalam operasi tersebut.
Menurut beliau, sindiket itu menyewa sebuah banglo tiga tingkat di Cheras dan Sungai Chua, Kajang untuk dijadikan makmal memproses dadah, manakala penyimpanan dadah dilakukan di sebuah premis berasingan di Kajang sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
“Hasil serbuan, polis merampas 18,537 kilogram dadah pelbagai jenis termasuk kokain, ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.53 bilion,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April lalu dan menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengedar dadah, termasuk kaedah penghantaran menggunakan kontena dengan mengisytiharkan maklumat palsu dalam borang kastam.
Dalam operasi sama, polis turut menyita tiga kereta jenis Chery Omoda, Toyota Vios dan Honda Accord, selain dua Toyota Forklift serta sebuah lori Isuzu dengan nilai keseluruhan rampasan kenderaan dianggarkan RM389,000.
Hussein menjelaskan, tiga lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penjaga stor serta menguruskan kediaman dan premis yang dijadikan makmal haram, manakala tiga wanita warga asing pula merupakan teman wanita mereka.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine, manakala seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 23 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Bernama
