KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan tiga beranak terdiri daripada seorang ibu, anak lelaki berusia 19 tahun dan anak perempuan dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Rahmat, Mukim Pauh Panji pada 10 September lalu.
Dalam operasi jam 12.20 tengah hari itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu merampas 108,000 biji pil kuda dan 37 kilogram (kg) daun ketum dengan anggaran nilai RM1.6 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek lelaki berusia 19 tahun dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan aktif sejak Mei lalu.
“Modus operandi sindiket adalah menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi penyimpanan bekalan sebelum diedarkan kepada pelanggan. Suspek belum sempat menikmati hasil daripada pengedaran itu kerana hanya memiliki sebuah motosikal jenis Honda yang turut disita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Beliau berkata, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 19 hingga 60 tahun didapati negatif, selain semakan rekod juga mendapati mereka tidak mempunyai kes jenayah lampau.
Kesemua mereka kini direman selama 14 hari sehingga 24 September untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mohd Yusoff menegaskan bahawa kejayaan ini hasil daripada risikan selama seminggu, dan polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan ahli sindiket lain.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Kosmo
