Seorang wanita berkongsi pengalaman hidup paling gelap yang dilaluinya lima tahun lalu selepas hubungan cintanya berakhir dengan cara yang tidak disangka.
Menurutnya, keluarga bekas teman lelaki pernah datang membawa kek coklat dan bantal peluk untuk masuk meminang namun ketika itu dia sendiri tidak bersetuju kerana masih terlalu muda. Ibunya juga menasihatkan perkara sama.
Tidak lama selepas itu hubungan mereka putus apabila lelaki tersebut kantoi tidur dengan seorang perempuan di tempat kerja.
Wanita itu menceritakan dirinya seolah tidak tahu bagaimana boleh makan kek coklat pemberian itu seorang diri selepas keluarga lelaki berkenaan pulang.
Malam itu bermulalah episod dia menangis teringatkan bekas teman lelaki dari jam 11 malam sampai ke subuh.
Katanya, dia pergi bekerja dalam keadaan sedih seperti kehilangan suami. Seorang pelanggan berbangsa Buddha menegurnya dan memintanya mencari rawatan kerana wajahnya kelihatan tidak sihat.
Dua atau tiga hari selepas itu, ketua kampung juga menegur perkara yang sama sebelum bermula kejadian aneh apabila “dia” (makhluk halus) menganggu di dalam kedai setiap kali waktu hampir tutup.
Wanita itu pulang dan memberitahu ibunya. Secara diam-diam keluarganya membawanya ke sebuah pusat tahfiz di Kedah untuk mendapatkan rawatan.
Ketika dirawat, dia langsung tidak sedar apa yang berlaku. Menurut ibunya, dia menangis seperti orang gila dan menggenggam karpet surau tebal sehingga terangkat.
Ustaz yang merawat meminta semua gambar di media sosial dipadam dan menyuruhnya mengamalkan Surah Tahrim pada sebelah malam serta Surah Jin pada waktu pagi.
Namun selepas pulang, gangguan dikatakan semakin kuat setiap kali dia membaca surah tersebut.
Dia juga merasa seperti ada yang mengusap rambut, memegang tangan dan memeluk ketika tidur, sampai membuatkannya takut kepada lelaki dan takut tidur malam.
Wanita tersebut turut mendakwa punca gangguan bermula kerana bekas teman lelaki meletakkan sesuatu di dalam bantal.
Sepanjang tempoh itu, wajahnya tidak berseri, kulit belakang badannya naik gatal dan berat badannya turun daripada 60kg kepada 40kg.
Dia berhenti kerja kerana keadaan tidak mengizinkan dan setiap hari hanya bangun tahajud mencari kekuatan.
Dia menceritakan hari terakhir gangguan itu apabila selepas solat Maghrib dan membaca Surah Tahrim, seekor lipan besar keluar dari penjuru atap rumah.
Ibunya membuangnya dan sejak itu barulah dia mula pulih sedikit demi sedikit.
Kini, menurut wanita tersebut, kehidupannya kembali sembuh dan lebih bahagia. Namun dia memberitahu bekas teman lelakinya masih belum berkahwin sehingga hari ini.
Sumber: izz_ahhhhhh
