Pelajar PhD maut kereta terbabas masuk tasik di UMK Kampus Jeli

Seorang pelajar pengajian Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di UMK Kampus Jeli pada Selasa.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian turut menyebabkan rakannya yang berada di tempat penumpang cedera dan kini menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.35 petang memaklumkan mengenai insiden tersebut.

Ketika kejadian sekitar jam 6.20 petang, mangsa, Muhammad Amidee Abdullah berusia 25 tahun, sedang memandu Perodua Axia melalui selekoh kiri menuruni bukit dalam kawasan kampus.

Secara tiba tiba kereta hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam tasik di bahagian kanan jalan.

Penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri, namun pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penumpang pula dirawat di Unit Kecemasan Hospital Jeli.

Menurut polis, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jeli atau pegawai penyiasat bertugas.

Kamarulzaman turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati hati terutama ketika melalui laluan berbukit dan selekoh di kawasan kampus.



KD: Berat rasanya membaca berita melibatkan anak muda di menara gading. Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan penumpang yang terselamat cepat pulih.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Bekal Air Ketum Kepada Nelayan, Dua Lelaki Ditahan Di Tok Bali
|
Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal…
Warga Emas Ditahan Bawa 800kg Beras Seludup Dari Thailand Di Tanah Merah
|
Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada…
Ronaldo Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Piala Dunia
|
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat…
Israel Dijangka Berperang Dengan Mesir Dalam Tempoh 15 Tahun
|
Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel berkemungkinan berdepan peperangan…
Tanah Diusahakan 20 Tahun Disita, Peneroka Gua Musang Tuntut Siasatan
|
Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua…
Bangsal Tersembunyi Dalam Semak Di Pasir Mas Rupa-Rupanya Stor Dadah
|
Seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas Pasukan Gerakan Am…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!