Kes tikaman membabitkan seorang wanita di Kampung Paku, Gual Ipoh dekat Tanah Merah semalam terus menjadi perhatian selepas polis mengesahkan suspek yang juga suaminya tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat memaklumkan keputusan ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 63 tahun itu didapati negatif, lapor Kosmo.
Siasatan awal turut mendapati tahap kesihatan mental suspek normal dan tidak menunjukkan tanda gangguan.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu apabila suspek mengesyaki isterinya mempunyai kekasih hingga mendorongnya bertindak menikam mangsa.
Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan tikaman pada badan, dan wanita terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan lanjut.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Kosmo
