Rantau Panjang cemas sekelip mata: Sungai Golok naik mendadak, laluan rendah tenggelam

Hanya dalam beberapa jam, rutin tenang petang di Rantau Panjang bertukar cemas apabila air Sungai Golok mula melimpah selepas parasnya melepasi tahap bahaya, sekali gus memasuki kawasan Pintu 2, Zon Bebas Cukai dan sebahagian pekan itu, menenggelamkan laluan rendah serta memaksa peniaga dan penduduk bertindak pantas menyelamatkan barangan, sebelum keadaan bertambah buruk.

Tinjauan Bernama petang ini mendapati limpahan air semakin ketara, khususnya di tebing sungai dan laluan utama pekan, selain arus deras yang menghakis sedikit tanah di beberapa bahagian tebing.

Sebilangan peniaga turut menutup premis lebih awal, manakala penduduk berhampiran mengalihkan kenderaan serta peralatan penting ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

Peniaga pakaian Rohani Jusoh, 52, berkata kenaikan paras air kali ini berlaku lebih cepat daripada kebiasaan.

“Tahun lepas pun air naik, tapi tidak secepat hari ini. Bila nampak air mula masuk kawasan jalan, saya terus kemas semua stok. Kalau lambat sikit memang habis basah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang penduduk Mohd Faizal Abdullah, 34, berkata paras air bertambah dalam masa sangat singkat dan tidak menyangka telah melimpah ke atas jalan raya.

“Setengah jam sebelum tu masih nampak tebing. Lepas hujan lebat, terus melimpah. Memang tak tunggu lama, saya dan jiran cepat-cepat pindahkan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Siti Khadijah Awang, 28, berkata rumahnya yang berhampiran tebing sungai membuatkan keluarganya sentiasa berjaga-jaga.

“Anak saya tidur pun tak lena bila nampak air dekat depan rumah. Kami harap tak berlaku kenaikan paras sungai yang mendadak malam nanti,” katanya.

Seorang lagi penduduk Razali Che Mat, 61, berkata walaupun sudah biasa berdepan musim banjir, limpahan kali ini kelihatan lebih agresif.

“Saya sudah ulang-alik tengok paras air sejak pagi. Biasanya lambat sikit naik, tapi tahun ini nampak lain macam cepat dan deras. Itu yang buat kami risau,” katanya.

Pemerhatian Bernama juga mendapati cuaca juga kekal mendung dengan hujan gerimis berpanjangan, menambah kebimbangan penduduk bahawa paras air mungkin meningkat dalam tempoh terdekat jika hujan tidak berhenti.

Selain itu, terdapat anggota keselamatan membuat rondaan berkala di kawasan berisiko, selain menasihatkan penduduk supaya berwaspada, memantau makluman rasmi dan bersedia untuk berpindah sekiranya diminta.

Situasi itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk dan peniaga di zon rendah sekitar Rantau Panjang, yang ketika ini bersiap sedia menghadapi kemungkinan air naik pada sebelah malam.



Berikutan itu, Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus kekal pada tahap bahaya apabila bacaan terbaru pada 4.15 petang mencatatkan 10.36 meter, melepasi paras bahaya 9.00 meter sebanyak 1.36 meter.

JPS memberitahu, trend paras air di stesen Rantau Panjang juga menunjukkan tiada perubahan, sekali gus mengekalkan risiko limpahan ke kawasan rendah sekiranya hujan berterusan.

BACA: Info lalulintas terjejas banjir dan aras air semasa sungai-sungai utama di Kelantan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jalan Kuala Krai–Gua Musang Ditutup Sementara 28 Julai Bagi Kerja Letupan Batu
|
Pengguna Jalan Persekutuan FT08 yang merancang perjalanan antara Kuala…
Kereta Berisi Bom Meletup Di Balai Polis Narathiwat
|
Sebuah kereta yang dipasang bahan letupan menggegarkan kawasan Balai…
Kanak-Kanak Perempuan Dua Tahun Maut Dirempuh Lori Dipandu Datuk Sendiri
|
Suasana tenang di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang,…
Projek Solar LSS5 Pasir Mas Mampu Bekalkan Elektrik Kepada 75,000 Rumah
|
Kelantan bakal melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan tenaga…
Lima Anggota Renjer Thailand Maut Dalam Serangan Hendap Di Narathiwat
|
Lima anggota Renjer Tentera Thailand terbunuh dalam satu serangan…
HRPZ II Bakal Terima Makmal Patologi Baharu Bernilai RM175 Juta
|
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!