Situasi banjir di beberapa negeri semakin mencemaskan apabila Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Sarawak turut mula dilanda banjir, sementara jumlah mangsa di Kelantan, Kedah dan Perlis terus menunjukkan peningkatan ketara.
Setakat jam 6 pagi hari ini, lebih 10,000 orang mangsa banjir ditempatkan di 65 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negara.
Di Pulau Pinang, seramai 237 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke 4 lokasi PPS di Seberang Perai. Empat lokasi terbabit ialah SK Permatang Pasir, Pusat Pemindahan Desa Puri, SK Pengkalan Jaya dan SK Lahar Yooi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor, Mohd Yazi Taib, banjir berlaku susulan hujan lebat dan limpahan air dari Sungai Jadak yang menyebabkan beberapa kampung rendah terjejas.
Di Perak juga menunjukkan peningkatan mendadak sejak semalam dengan 16 PPS dibuka di 3 daerah iaitu Perak Tengah, Manjung, Larut, dan Batang Padang.
Jumlah keseluruhan mangsa seramai 907 orang melibatkan 291 keluarga.
Di Kelantan, keadaan paling ketara apabila jumlah mangsa meningkat drastik kepada 8,231 mangsa daripada 3,016 keluarga, berbanding hanya 2,047 mangsa pada sebelah petang semalam.
Sebanyak 33 PPS beroperasi di empat jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh. Paras air Sungai Melor di Jambatan Melor turut dilaporkan melepasi tahap waspada apabila mencatat bacaan 7.59 meter.
Di Kedah, jumlah mangsa turut bertambah kepada 341 orang daripada 117 keluarga. Mereka ditempatkan di tiga PPS dalam daerah Kulim iaitu di Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau KEDA Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik.
Sementara itu di Perlis, seramai 268 mangsa daripada 86 keluarga berada di lima PPS iaitu SK Felda Mata Ayer, SK Lubuk Sireh dan Dewan Semai Bakti Felda Mata Air, SK Guar Nangka dan Dewan Warisan Kangar.
Terengganu pula mencatatkan penurunan jumlah mangsa apabila ramai penduduk mula pulang ke rumah selepas keadaan air semakin baik. Di Besut, jumlah mangsa berkurangan daripada 531 orang kepada 359 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu SK Kuala Besut dan SK Pulau Perhentian.
Terbaru di negeri Selangor satu PPS di buka di Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam yang menempatkan 34 mangsa serta di Miri, Sarawak juga satu PPS dibuka di Red Crescent Centre Miri yang menempatkan 44 mangsa.
BACA: Kemaskini laporan menyeluruh info banjir di negeri Kelantan
Walaupun beberapa kawasan menunjukkan tanda pemulihan, keadaan cuaca yang tidak menentu masih memerlukan penduduk kekal berjaga-jaga, terutama di kawasan yang mudah dinaiki air.
KD: Musim tengkujuh ni memang tak menentu… harap semua kekal waspada, terutama yang tinggal dekat kawasan rendah. Jaga diri dan keluarga ya.
Sumber: Bernama, Public Info Banjir
