Penduduk Kelantan khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir digalakkan membuat pendaftaran awal menerusi sistem MyIBJKM bagi memudahkan urusan sekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pendaftaran boleh dilakukan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga rumah dinaiki air atau diarahkan berpindah.
Menurutnya, sistem yang diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu itu membolehkan Ketua Isi Rumah (KIR) mengisi maklumat terlebih dahulu sebelum berlaku sebarang kejadian banjir.
“Bila-bila masa sahaja boleh muat turun aplikasi itu dan kita isi maklumat dalam MyIBJKM. Daftar awal dahulu walaupun belum masuk lagi, bukan banjir dan masih duduk di rumah.
“Apabila tiba masa kita berpindah, kita hanya perlu imbas kod bar yang disediakan untuk memastikan Ketua Isi Rumah (KIR) didaftarkan sebagai mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu LIVE FOKUS Siri 23 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bertajuk Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir, pada Selasa.
Hampir 70,000 Rekod Sudah Dimasukkan
Che Samsuzuki berkata, penggunaan MyIBJKM bukan sahaja mempercepatkan proses pendaftaran mangsa di PPS, malah membantu mengelakkan pertindihan rekod sekiranya seseorang berpindah ke pusat pemindahan yang berlainan.
“Tujuan sistem ini adalah untuk mempercepatkan pendaftaran dan yang keduanya supaya tidak berlaku pertindihan.
“Dalam sistem kita sudah ada rekod, jadi apabila seseorang itu berpindah ke pusat pemindahan lain, perkara itu dapat dikenal pasti dan tidak berlaku pertindihan pendaftaran,” ujarnya.
Menurutnya, hampir 70,000 rekod telah dimasukkan ke dalam sistem berkenaan, dengan Pasir Mas antara jajahan yang mencatatkan jumlah pendaftaran tinggi.
Penduduk Digalak Daftar Sebelum Banjir
Tambahnya, penggunaan teknologi digital itu merupakan antara usaha JKM menambah baik pengurusan bencana supaya urusan bantuan dan kebajikan mangsa dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Sehubungan itu, penduduk Kelantan disaran mengambil peluang membuat pendaftaran lebih awal, terutama bagi mereka yang menetap di kawasan berisiko banjir.
Langkah berkenaan dapat membantu melancarkan urusan apabila tiba masanya mereka perlu berpindah ke PPS.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
