Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.77 juta berkaitan tender pengiklanan kementerian pada 2018.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, yang mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM. Mohd Saifullah, 34, dilihat menangis teresak-esak ketika sabitan dan hukuman dibacakan di hadapan mahkamah.
Suzana turut memerintahkan beliau dipenjara tujuh tahun lagi sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Tertuduh sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Mohamaddin Ketapi.
Dalam mahkamah turut disebut bahawa hukuman ini diharapkan dapat memberi pengajaran, selain membuka ruang untuk tertuduh berubah menjadi lebih baik memandangkan usianya masih muda.
Hakim turut menegaskan keputusan dibuat selepas meneliti keterangan saksi pembelaan dan pendakwaan, serta hujahan kedua-dua pihak secara keseluruhan.
Namun, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela Asyraaf Abu Bakar Hamzah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.
Mohd Saifullah disabitkan menerima suapan RM1,765,000 daripada pemilik Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.
Suapan itu sebagai dorongan untuk mendapatkan tender perkhidmatan penjenamaan dan kreatif bagi kempen Tourism Malaysia, serta tender promosi digital Tahun Melawat Malaysia 2020 melalui rundingan terus kepada Plan B Digital Sdn Bhd.
Kesalahan berlaku di beberapa lokasi termasuk Red Box Karaoke dan Coffee Bean di Pavilion, pejabat kementerian, Vipod Residences dan Petronas Dengkil antara 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.
Semuanya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika lebih tinggi.
Ketika mitigasi, peguam bela memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh masih muda, naif dalam dunia politik dan telah memberi kerjasama sepanjang lima tahun perbicaraan.
Beliau juga pesalah pertama kali.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah bahawa hukuman berat wajar dikenakan kerana kesalahan ini menjejaskan integriti kerajaan serta memberi kesan langsung kepada kepercayaan awam, apatah lagi melibatkan jumlah wang yang besar.
Mahkamah turut menaikkan jumlah ikat jamin daripada RM200,000 kepada RM280,000. Tertuduh diwajibkan melapor diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
KD: Bila baca kes melibatkan jumlah jutaan macam ni, memang terasa berat. Harap jadi peringatan buat semua yang pegang amanah supaya tak tergelincir walaupun tampak ‘peluang mudah’ di depan mata.
Sumber: Harian Metro
