KOTA BHARU – Tiga beranak hanya mampu melihat rumah sewa dan sebuah kereta milik keluarga musnah dijilat api dalam kejadian di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini, awal pagi Rabu.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Wan Azita Wan Azmi, 33, berkata kejadian berlaku hanya beberapa jam selepas mereka menyambut hari lahir ayahnya, Wan Azmi Wan Ahmad, 70 tahun.
“Kereta yang terbakar itu milik ayah. Ia kereta terpakai yang baru dibeli untuk kegunaan harian bersama ibu.
“Semasa kejadian, saya hanya sempat capai telefon dan beg duit, manakala ibu sempat membawa beg tangan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Wan Azita, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi apabila mereka dikejutkan dengan teriakan jiran dan ketukan kuat di pintu rumah.
“Sebaik membuka pintu, kami nampak kereta yang diparkir di sebelah rumah sudah terbakar. Api merebak terlalu cepat dan terus menyambar rumah.
“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami reda, ALLAH masih lindungi,” katanya lagi.
Wan Azita yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail Petra berkata, keluarga mereka menyewa rumah berkenaan sejak dua tahun lalu dengan kadar sewa RM300 sebulan.
Kini, mereka sekeluarga terpaksa menumpang sementara di rumah kakaknya yang berhampiran kawasan tersebut.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazaruddin Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.03 pagi.
“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi bagi kerja pemadaman. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.21 pagi,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
