KOTA BHARU – Seorang ibu di Kampung Binjai, di sini berdepan dugaan besar apabila anak sulungnya, Nur Elyana Umairah Mohd Khairul Nizam, 8, disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal sejak September lalu.
Menurut ibunya, Nik Nur Atiqah Rusdi, 34, perubahan sikap anaknya yang pada awalnya disangka sekadar mahu menarik perhatian rupa-rupanya menjadi petanda awal penyakit serius yang dihidapi.
Katanya, Nur Elyana Umairah mula menunjukkan tanda-tanda lemah, berjalan tidak stabil dan sering mengadu pening kepala sejak sebulan sebelum diagnosis.
“Dia pernah cakap, ‘mama sayang adik sahaja’, masa itu saya fikir dia merajuk.
“Apabila dia jalan tak betul dengan mata kuyu, saya ingatkan dia nak tarik perhatian tapi lepas bawa ke hospital memang terkejut doktor sahkan kanser,” katanya sebak.
Disahkan Kanser Tahap Kritikal
Nik Nur Atiqah berkata, anaknya yang juga murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Mentuan pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Binjai sebelum dirujuk ke Hospital Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati terdapat ketumbuhan sebesar tiga sentimeter di pangkal otak. Pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kemudian mengesahkan Nur Elyana Umairah menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal.
Disebabkan kedudukan tumor yang terlalu berisiko, doktor memaklumkan tiada pembedahan atau rawatan kemoterapi boleh dijalankan, sebaliknya hanya rawatan radioterapi bagi memperlahankan pertumbuhan tumor.
“Doktor beritahu tiada harapan sembuh dan minta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Keadaan Semakin Lemah
Sejak menjalani rawatan radioterapi setiap hari sejak 15 hari lalu, keadaan Umairah semakin lemah dan kini hanya mampu menyebut satu dua perkataan sahaja.
Dia tidak lagi boleh makan seperti biasa dan bergantung kepada tiub khas untuk minum susu serta ubat.
“Dulu dia ceria dan suka ke sekolah, tapi sekarang hanya mampu sebut satu, dua perkataan saja,” kata ibunya.
Dua Anak Sakit Serentak
Dalam masa sama, keluarga ini turut diuji apabila anak bongsu mereka, Nur Eleena Huwaina, berusia enam bulan, dilahirkan sumbing bibir dan lelangit.
Keadaan itu menyebabkan bayi tersebut tidak dapat menyusu secara normal kerana berisiko susu masuk ke otak atau paru-paru. Dia juga bergantung kepada tiub khas untuk minum susu setiap empat jam.
“Pembedahan pertama bagi membetulkan bibir sepatutnya dilakukan bulan lalu, namun ditunda ke 22 November ini atas faktor kesihatan,” jelas Nik Nur Atiqah.
Keluarga Ujian Hidup
Suaminya, Mohd Khairul Nizam Ghazali, 32, bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan, manakala Nik Nur Atiqah berhenti kerja pada Mei tahun lalu untuk menjaga anak-anak.
Mereka kini menumpang di rumah ibu Nik Nur Atiqah, Maheran Tengku Jusoh, 55, yang juga tidak bekerja.
Pendapatan keluarga tidak mencukupi bagi menampung keperluan susu khas, lampin dan kos ulang-alik ke hospital yang dianggarkan mencecah RM3,000 sebulan.
Keluarga ini pernah menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Bantuan Dari NGO
Nasib keluarga ini turut mendapat perhatian Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera) apabila pengerusinya, Datuk Mohammad Hamizan Amzah, hadir menziarahi mereka di rumah.
Beliau menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda boleh laras, susu, lampin dan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga.
Nik Nur Atiqah berkata, bantuan itu amat bermakna buat mereka yang kini bergantung sepenuhnya pada ihsan masyarakat.
Datuk Mohammad Hamizan memaklumkan bahawa keluarga ini akan dijadikan keluarga angkat ISejahtera dan akan dibantu mendapatkan bantuan bulanan melalui jabatan berkaitan.
“ISejahtera akan terus bantu dan pantau supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.
Bantuan Orang Ramai
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03018021725015 (Nik Nur Atiqah Rusdi) atau menghubungi beliau di talian 011-1191 1952.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
