Memiliki rumah sendiri yang selesa untuk anak-anak adalah impian setiap ibu bapa, namun bagi sebuah keluarga di Kampung Lepan Jaya, realitinya jauh berbeza apabila mereka hanya mampu berlindung di sebuah rumah kecil tanpa bilik dan dapur.
Rumah yang dihuni lima beranak itu dibina di atas tanah sendiri menggunakan kayu serta zink terpakai, dan kini semakin uzur serta mereput dimamah usia.
Menurut Nurul Mazlina Mohd Nor, 32, dia bersama suaminya Mohd Sahru Azman, 38, serta tiga orang anak berusia tiga minggu, lima dan lapan tahun telah mendiami rumah berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.
Katanya, bukan tidak pernah mencuba mendapatkan rumah yang lebih selesa, namun setiap permohonan yang dibuat masih belum membuahkan hasil.
“Sebelum ini kami tinggal menyewa. Kami juga pernah memohon untuk membina rumah di atas tanah sendiri dan membaiki rumah ini melalui beberapa jabatan, tetapi mungkin belum rezeki kami atau ada yang lebih layak,” katanya ketika ditemui.
Nurul Mazlina berkata, rumah tersebut dibina sendiri oleh suaminya menggunakan bahan terpakai sekadar untuk dijadikan tempat berteduh.
“Rumah ini tiada bilik dan dapur. Jadi kami lima beranak tidur bersama di ruang tamu, hanya beralaskan tilam,” katanya.
Ibu muda itu yang kini sedang berpantang anak ketiga berkata, pendapatan suaminya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung sekadar cukup untuk menampung keperluan harian keluarga.
Menurutnya, usaha menambah pendapatan turut dilakukan dengan menanam pokok lada di sekitar rumah.
“Pendapatan suami cukup-cukup makan sahaja. Untuk bina rumah yang selesa memang kami tak mampu.
“Sebelum ini ada jabatan datang meninjau keadaan rumah, tetapi sehingga kini belum ada keputusan.
“Saya sangat berharap jika ada mana-mana pihak, sama ada agensi kerajaan atau NGO yang sudi membantu membina atau menyumbang bahan binaan untuk membaiki rumah kami,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
