KOTA BHARU – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Haji Ustaz Ahmad Marzuk bin Shaary menziarahi pelakon siri terkenal Gerak Khas, Z. Zamri atau nama sebenarnya Mohd Zamri Ibrahim, yang baru sahaja menjalani pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal baru-baru ini.
Menurut perkongsian di Facebook rasminya, Ustaz Marzuk berkata pelakon kelahiran Pengkalan Chepa yang popular dengan watak Detektif Zaidi itu mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur untuk menyertai program kerajaan negeri.
“Walau bahu masih sakit, semangatnya tetap kuat. Masih aktif berlakon, dan penampilannya masih kekal seperti dulu – berbakat, kemas, segak dan pandai menjaga imej diri,” katanya.
Ustaz Marzuk turut berkongsi pesanan semangat daripada Zamri yang berkata, “hidup kena terus, tak boleh baring lama-lama.”
“Begitulah semangat anak Pengkalan Chepa, tidak pernah kalah bila diuji. Semoga Allah kurniakan kesembuhan sepenuhnya dan kekuatan untuk beliau kembali sihat serta terus menghiburkan di layar seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, ziarah dan kebajikan penduduk di kawasan Pengkalan Chepa akan terus menjadi rutin pihaknya kerana ia adalah nadi perjuangan bersama rakyat.
Ustaz Marzuk dilihat sangat aktif menziarah penduduk sekitar Pengkalan Chepa dan menghulurkan bantuan seperti yang dikongsikan di halaman facebook beliau.
#KelantanDaily
Sumber: Ustaz Marzuk Shaary
