Pengacara RARETV, Akhmal Asyraf Meninggal Dunia di Oman

Pengacara RARETV, Akhmal Asyraf disahkan meninggal dunia pada jam 6.58 petang waktu Oman selepas beberapa hari dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh adiknya, Amal Mohd menerusi Threads sebentar tadi.

Dalam hantaran itu, Amal meluahkan kesedihan keluarga atas kehilangan satu-satunya abang mereka yang membesar bersama sejak kecil.

Adik Luah Rasa Sebak Kehilangan Abang

Menerusi perkongsian tersebut, Amal menyatakan keluarga menerima pemergian Allahyarham dengan reda dan memberi jaminan bahawa isteri serta anak-anak arwah akan dijaga dengan baik.

“Allah lagi sayang Along kami. Kami semua reda, Along. Jangan risau, isteri dan anak-anak Along akan berada dalam jagaan yang baik.

“Masih tak percaya satu-satunya abang yang kami ada di dunia ini, yang kami membesar bersama, gelak, marah, sedih dan macam-macam lagi dah tak ada.

“Along macam tengah tidur je tadi, macam yang kitorang selalu gelakkan sebelum ni. Cara tidur yang diwarisi anak-anak dan anak buah Along.

“Along selalu penat kan? Sekarang Along boleh berehat dengan tenang, abang kesayangan kami,” katanya.

Saiful Nang Turut Kongsi Berita Pemergian

Sementara itu, Saiful Nang turut berkongsi berita duka berkenaan menerusi hantaran di Threads.

Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang, selepas waktu Maghrib di Muscat, Oman.

“Arwah baik orangnya,” ujarnya.

Sebelum Ini Dilaporkan Kritikal Akibat Jangkitan Paru-Paru

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan selepas mengalami jangkitan paru-paru.

Sebelum disahkan mengalami jangkitan itu, Allahyarham dikatakan mengalami demam.

Beliau pada awalnya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kesedihan buat ahli keluarga, rakan-rakan serta mereka yang mengenalinya.

Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!