Tiga Tan Dadah Diseludup Menerusi Dua Pangkalan TUDM Sejak 2024

Sebanyak tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM156 juta dikenal pasti diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 transaksi dikesan melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta.

Manakala tujuh lagi transaksi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah melibatkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.

Menurutnya, jumlah dadah berkenaan berpotensi memberi kesan kepada jutaan individu sekiranya kegiatan sindiket tidak dibanteras.

"Methamphetamine ini pengambilannya perlu 0.02 gram (g) sahaja, jadi kalau nilai tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang. Tetapi, kalau seseorang itu ambil 0.05 g untuk lagi kick, kesannya masih tinggi melibatkan enam juta orang.

"Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.

13 Individu Ditahan, Tujuh Pegawai TUDM Terlibat Dalam Siasatan

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan memandang serius kegiatan itu kerana membabitkan sindiket jenayah terancang yang mengeksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara.

Setakat ini, seramai 13 individu ditahan termasuk tujuh pegawai TUDM, selain enam orang awam.

Daripada tujuh pegawai TUDM itu, lima merupakan pegawai dan dua lagi anggota lain-lain pangkat.

Pihak berkuasa turut merampas 96.64 kilogram methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta menyita tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan RM172,062.

Menurutnya, siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket serta peranan setiap individu yang terbabit.

"Hal ini bukan saja soal kesalahan jenayah yang serius, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan. Ketua sindiket masih bebas, tetapi kita dah kenal pasti. Saya yakin dalam sedikit masa ini kita akan berjaya tangkap dan siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Setakat ini, predikat hala tuju siasatan menuju kepada jenayah terancang dan sebagainya … SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) juga akan kita gunakan," katanya.

Sindiket Dipercayai Sudah Beroperasi Sejak Beberapa Tahun

Beliau berkata, walaupun risikan bermula pada Januari 2026, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai sudah berlaku sejak beberapa tahun sebelumnya.

"Setakat siasatan ini, walaupun intipan kita bermula pada Januari 2026, hasil siasatan awal menunjukkan bahawa kegiatan ini sudah bermula beberapa tahun ke belakang, sebelum itu lagi, dan melibatkan satu sindiket besar yang established.

"Sebahagian daripadanya kita dah tangkap, dah tuduh, dah penjara. Sebahagiannya masih bebas dan kita juga membuka skop siasatan termasuk kegiatan ini menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan," katanya.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan harga bagi satu kilogram methamphetamine di pasaran tempatan dianggarkan sekitar RM50,000, manakala nilainya boleh mencecah RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.

Individu Mempunyai Akses Penerbangan Tentera Dipercayai Dieksploitasi

Mengulas bagaimana sindiket menggunakan kemudahan penerbangan tentera, beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat penglibatan individu yang mempunyai akses serta hubungan dengan personel dan operasi penerbangan TUDM.

"Kita percaya perkara ini menjadi permulaan bagi membuka ruang kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan penyeludupan," katanya.

Beliau turut menegaskan tiada individu akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah, termasuk mereka yang mempunyai kedudukan tertentu.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!