Empat lukisan karya pelukis terkenal dunia termasuk Pablo Picasso yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dijangka dipamerkan kepada orang ramai di Balai Seni Negara tidak lama lagi.
Peluang itu mungkin bakal dinikmati orang ramai apabila empat karya seni yang berjaya dibawa pulang ke Malaysia dijangka dipamerkan menerusi satu pameran khas di Balai Seni Negara.
Empat lukisan berkenaan merupakan sebahagian daripada aset berkaitan 1MDB yang berjaya dipulihkan oleh kerajaan.
Selain karya Picasso, tiga lagi lukisan dihasilkan oleh Joan Miró, Maurice Utrillo dan Balthus.
Namun, orang ramai perlu menunggu sedikit masa lagi kerana tarikh pameran masih belum ditetapkan.
Menurut laporan Berita Harian, Balai Seni Negara memaklumkan beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu, terutama berkaitan pengesahan ketulenan dan status pemilikan sebenar karya berkenaan.
Perbincangan turut diadakan bersama beberapa agensi termasuk MOTAC, Kementerian Kewangan, SPRM dan NFCC bagi menyusun langkah seterusnya.
Lebih menarik, empat karya yang sudah dibawa pulang itu bukan satu-satunya lukisan berkaitan 1MDB yang sedang diusahakan.
Tujuh lagi karya seni yang disimpan di rumah lelong Christie's turut dalam usaha untuk dibawa pulang dari Amerika Syarikat.
Sementara itu, enam lagi karya yang pernah dimiliki Jasmine Loo masih berada di bawah jagaan rumah lelong berkenaan dan memerlukan perintah mahkamah untuk diserahkan.
Setakat ini, Malaysia dilaporkan berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion.
Jika pameran itu berjaya direalisasikan, orang ramai bukan sahaja berpeluang melihat karya seni bernilai tinggi, malah memahami sebahagian daripada sejarah pemulihan aset negara yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Sumber: Berita Harian
