Pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti mandi-manda atau berenang di empat pantai peranginan di Kelantan berikutan keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 1.5 meter.
Pantai yang terlibat ialah Pantai Geting, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama dan Pantai Bisikan Bayu.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak berkata, bendera merah dipasang di kawasan berkenaan sejak 27 Oktober lalu sebagai amaran kepada orang ramai supaya menjauhi aktiviti air yang berisiko.
Menurutnya, keadaan laut ketika ini boleh mengundang kejadian lemas disebabkan ombak besar dan arus deras, termasuk arus bawah laut yang berupaya menarik mangsa ke tengah laut walaupun permukaan air kelihatan tenang.
“Orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan supaya tidak mandi-manda atau berenang di kawasan yang dipasang bendera merah kerana keadaan laut tidak selamat apabila ketinggian ombak melebihi 1.5 meter… pengunjung juga perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga,” katanya.
Risiko Meningkat Sepanjang Monsun Timur Laut
Mohd Farid berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius memandangkan negara kini memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Kelantan antara negeri di Pantai Timur yang berisiko berdepan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora sepanjang musim berkenaan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, fasa awal MTL dari November hingga Januari 2027 dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta peningkatan paras air laut di perairan Laut China Selatan.
Pengunjung Masih Datang Melihat Ombak
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pantai Geting mendapati masih terdapat pengunjung datang bersama keluarga, termasuk membawa anak-anak, untuk melihat keadaan ombak meskipun tidak melakukan aktiviti mandi-manda.
Beberapa anggota APM yang bertugas sebagai penyelamat pantai di menara tinjau turut melakukan pemantauan serta memberikan nasihat kepada pengunjung mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Orang ramai diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko dengan memasuki laut ketika bendera merah dipasang.
Sumber: Bernama
