Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pernah bertanyakan kepadanya mengenai kemungkinan parti itu menjalinkan hubungan baik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, perkara berkenaan berlaku ketika beliau menghadiri satu persidangan ulama di Turkiye.
Beliau mendakwa terdapat pihak tertentu yang menggunakan pengaruh luar negara untuk memujuk Pas supaya menyertai PH.
"Saya jumpa Erdogan dalam persidangan ulama di Turkiye. Erdogan bisik kat saya, 'Boleh tak Pas ini berbaik dengan Anwar? Dengan PH?' Saya kata tak boleh.
"Saya baik dengan Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad). Saya rapat dengan Tun Mahathir. Mahathir dah cenderung kepada Islam sekarang ini. Mahathir dah minat pada Islam, semangat Islam," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Dungun pada Jumaat.
Dakwa Pelbagai Tawaran Pernah Diberikan
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata penolakan terhadap pelawaan PH dibuat berdasarkan perbezaan dasar perjuangan dan bukannya kerana soal jawatan atau habuan politik.
Beliau mendakwa Pas sebelum ini dipujuk dengan pelbagai tawaran, termasuk jawatan dalam Kabinet dan kedudukan sebagai menteri, namun semuanya ditolak.
"Memang Pas ini sekarang ini orang pujuk, tapi kita nak kepada UMNO. Orang-orang PH pujuk nak duduk kita dengan dia. Macam-macam tawaran duduk dalam Kabinet, jadi menteri dan sebagainya.
"Kita tolak. Kenapa? Kerana kerjasama yang berkait dengan dasar. Selisih masalah dasar wala', ini bercanggah dengan Islam," tegasnya.
Menurutnya, usaha memujuk Pas itu bukan sahaja melibatkan pihak dalam negara, malah turut didakwa menggunakan pemimpin luar termasuk Erdogan yang mempunyai hubungan baik dengan pimpinan PH.
"Sampai dalam negeri habis usaha, dia minta orang berjumpa dengan saya dalam negeri ini, pujuk, minta berjumpa, nak berunding. Sampai orang luar negeri, minta orang luar negeri termasuk Erdogan. Dia kenal Erdogan, saya kenal juga Erdogan," ujarnya.
PAS Pilih Perkukuh Muafakat
Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut melahirkan rasa syukur kerana barisan kepimpinan Pas tidak terpengaruh dengan tawaran yang didakwanya sebagai cubaan memujuk parti itu.
Sebaliknya, beliau berkata Pas memilih untuk memperkukuh muafakat bersama UMNO serta rakan gabungan bukan Islam yang tidak ekstrem.
"Alhamdulillah, pemimpin-pemimpin kita tak boleh dipujuk. Terpaksalah buat muafakat, kita bergabung muafakat, bergabung dengan UMNO, bergabung dengan bukan Islam yang tidak ekstrem, yang tidak melampau. Ini langkah kita ambil," katanya.
Sumber: Sinar Harian
