Di sebalik kecederaan serius yang dialaminya, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy tetap menunjukkan semangat luar biasa apabila dilihat tersenyum ketika dibawa masuk ke bilik pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam tadi.
Anggota polis itu menjalani prosedur penyambungan semula tangan kanannya yang putus ditetak dalam satu kejadian di Desa Aman Puri, Kepong.
Momen berkenaan dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Lebih melegakan, prosedur penyambungan semula tangan atau hand replantation itu berjaya dilakukan oleh pasukan pakar HKL selepas pembedahan selama lapan jam.
Prosedur berkenaan memerlukan ketelitian tinggi dengan penggunaan mikroskop pembedahan bagi memastikan proses penyambungan dapat dilakukan.
Pasukan pakar HKL terima pujian
Kejayaan pembedahan itu turut mendapat perhatian ramai yang memuji semangat anggota polis berkenaan, selain menghargai usaha pasukan perubatan yang terlibat.
Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial termasuk:
“Terbaik polis macam ini, tangan putus masih boleh senyum, moga diberi penghargaan dan ganjaran oleh pihak PDRM dan kerajaan,” kata Syafiq.
“Tahniah kepada semua yang terlibat dan berjaya melakukan pembedahan penyambungan semula tangan Lans Koperal Thierry Rodger. Hebat semua, syabas dan terima kasih dari kami semua rakyat Malaysia,” komen Shahrul Effandi.
“Jauh anak Sarawak mempertahankan keamanaan negara,” kata Ahmad Ebak Malik.
Terdahulu, Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr. Allan Ravi Rajagopal serta Dr. Aziz Sabbir Husain atas kejayaan melaksanakan prosedur berkenaan.
Menurut beliau, kejayaan itu turut mendapat sokongan pasukan Neurosurgeri HKL yang bertanggungjawab merawat kecederaan di bahagian kepala anggota polis terbabit.
Pergelangan tangan kanan putus ditetak
Semalam, media melaporkan Thierry mengalami kecederaan parah selepas pergelangan tangan kanannya putus ditetak seorang lelaki asing bersenjatakan dua bilah parang.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, kira-kira jam 7 malam.
Walaupun berdepan kecederaan serius, semangat yang ditunjukkan anggota polis itu sebelum menjalani pembedahan mengundang rasa kagum dan penghargaan ramai.
Sumber: Kosmo!
