Hujan Berterusan Tahap Waspada Di Kelantan, Terengganu Bermula Ahad Hingga 11 November

Penduduk di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan hujan berterusan bermula Ahad ini hingga 11 November susulan jangkaan luruan monsun memasuki rantau negara.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan pada tahap waspada melibatkan tujuh daerah di Kelantan serta enam kawasan di Terengganu dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kawasan yang dijangka terjejas di Kelantan ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

Di Terengganu pula, kawasan terlibat merangkumi Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

Menurutnya, hujan berterusan turut dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah dari 9 hingga 11 November.

Kawasan terlibat ialah Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan.

Luruan Monsun Dijangka Masuk 9 November

Mohd Hisham berkata, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 9 hingga 11 November ini.

Keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan timur Sabah.

"Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka memasuki rantau negara pada 9 hingga 11 November ini.

"Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang Ramai Diminta Pantau Perkembangan Cuaca

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi mudah alih myCuaca.

Sebarang pertanyaan lanjut juga boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.

Penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama sekiranya berlaku hujan berpanjangan.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!