Bukit Merbau 51.44 Peratus, Jeli Hampir Siap – Ini Status Projek SUKMA 2028

Persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 terus berjalan apabila tiga projek utama pembangunan kemudahan sukan di negeri ini mencatatkan kemajuan masing-masing.

Antara projek yang menjadi tumpuan ialah Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh yang kini mencatat kemajuan 51.44 peratus bagi kerja pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja berkaitan.

Stadium Baharu Kelantan Di Bukit Merbau Kini Mula Menampakkan Rupa

Kemajuan pembangunan Stadium Bukit Merbau pada Jun 2026


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, projek bernilai RM53 juta itu dijangka siap pada 12 Jun 2027.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) mengenai perkembangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan bagi SUKMA 2028 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.

Bukit Merbau Libatkan Enam Kemudahan Sukan

Kompleks Sukan Bukit Merbau merupakan antara pembangunan utama bagi temasya berkenaan yang merangkumi enam kemudahan sukan.

Ia terdiri daripada Stadium Utama, Arena Tertutup Serbaguna, Stadium Hoki, Pusat Skuasy, Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung dan Lapang Sasar Menembak.

Berdasarkan status sehingga 20 Oktober 2026, Lapang Sasar Menembak mencatat kemajuan tertinggi sebanyak 57.12 peratus.

Stadium Utama pula mencapai 48.21 peratus, diikuti Pusat Skuasy dan Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung masing-masing 34.28 peratus.

Sementara itu, Stadium Hoki mencatat kemajuan 32.11 peratus manakala Arena Tertutup Serbaguna berada pada tahap 26.58 peratus.

Kesemua kemudahan itu dijadualkan siap secara berperingkat antara April hingga September 2027. Lapang Sasar Menembak dijangka menjadi yang terawal siap pada 19 April 2027, manakala Arena Tertutup Serbaguna disasarkan siap pada 6 September tahun sama.

Bagi kerja-kerja tanah Kompleks Sukan Bukit Merbau yang melibatkan kos keseluruhan RM68 juta, Zamakhshari berkata projek itu telah siap sepenuhnya pada 18 Ogos 2026.

Pusat Akuatik Tunjong 39 Peratus, Jeli Hampir Siap

Selain Bukit Merbau, dua lagi projek utama yang menjadi sebahagian daripada persiapan SUKMA 2028 ialah Pusat Akuatik Tunjong di Kota Bharu dan Kompleks Sukan Bandar Jeli.

Pusat Akuatik Tunjong kini mencatat kemajuan pembinaan sebanyak 39 peratus dan dijangka siap pada 2 Ogos 2027.

Kompleks Sukan Bandar Jeli pula merekodkan kemajuan 88.05 peratus, sekali gus menjadi projek paling hampir siap antara tiga pembangunan utama berkenaan.

Projek itu disasarkan selesai pada 31 Disember 2026.

Komponen Infrastruktur Bukit Merbau Terima Lanjutan Masa

Mengulas mengenai kerja infrastruktur di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Zamakhshari berkata skop pembangunannya merangkumi loji rawatan kumbahan (STP), jalan utama dan dalaman serta sistem retikulasi air termasuk tangki air, rumah pam dan saliran.

Tarikh penyiapan projek itu ditetapkan pada 12 Jun 2027 selepas mendapat lanjutan masa (EOT) kali kedua berikutan isu reka bentuk sistem pembetungan yang perlu diselaraskan semula.

“Kerajaan Negeri Kelantan bersama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan, sedang giat membangunkan infrastruktur serta kemudahan sukan bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028,” katanya.

Beliau berkata pembangunan kemudahan sukan berkenaan secara keseluruhannya berjalan mengikut jadual kontrak, dengan setiap komponen disasarkan siap secara berperingkat sepanjang 2027.

Kerajaan negeri juga akan terus memantau perkembangan kerja bersama agensi teknikal berkaitan bagi memastikan semua lokasi pertandingan dapat disiapkan mengikut perancangan dan bersedia digunakan ketika SUKMA Kelantan 2028 berlangsung.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!