Sebuah video memaparkan seorang lelaki menendang penunggang motosikal di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, tular di media sosial sehingga polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian berkenaan semalam.
Menurut beliau, rakaman yang disiarkan di Facebook ‘Info Tumpat Loni’ memaparkan seorang lelaki menendang seorang penunggang motosikal.
“Menerusi video yang disiarkan di Facebook 'Info Tumpat Loni,' memaparkan seorang lelaki menendang penunggang motosikal.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terbabit dalam rakaman berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, setakat kenyataan itu dikeluarkan, penunggang motosikal yang terbabit dalam kejadian berkenaan masih belum membuat laporan polis.
Sehubungan itu, mangsa serta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman asal seperti dashcam diminta tampil bagi membantu siasatan.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
“Mangsa dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman asal ('dashcam') diminta tampil membantu siasatan.
“Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan adil bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
