Penjual Ayam, Adik Serta Dua Remaja Didakwa Curi Dua Honda EX5 Di Bachok

Seorang penjual ayam bersama adik dan dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Bachok hari ini atas dua pertuduhan mencuri dua motosikal jenis Honda EX5 pada bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Bismi Aiman Zakaria, 22, bersama adiknya, Muhammad Ridwan, 20, dan seorang remaja berusia 16 tahun mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.

Bagaimanapun, seorang lagi remaja berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa bersama-sama mencuri sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM3,000 milik seorang wanita berusia 40 tahun.

Kejadian itu didakwa berlaku di depan sebuah rumah di Perumahan Orang Kurang Upaya, Kampung Aur Telong, kira-kira jam 3 pagi pada 8 September 2026.

Bagi pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri sebuah lagi motosikal jenis sama milik seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kejadian itu didakwa berlaku di depan sebuah rumah di Kampung Kubang Perupok kira-kira jam 1 pagi pada 15 September 2026.

Penjual Ayam Dipenjara

Pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norizaidah Abdul Salam.

Dalam rayuannya, Norizaidah memohon hukuman diringankan dengan alasan Muhammad Bismi dan adiknya bekerja sebagai penjual ayam selain perlu menjaga bapa yang menghidap penyakit kronik.

“Ibu dua beradik itu hanya bekerja sebagai tukang cuci. Mereka berdua perlu menyara seorang adik yang masih bersekolah.

“Selain itu, remaja berusia 18 tahun pula baru tamat persekolahan manakala seorang lagi tertuduh masih bersekolah di Bachok dan ibu bapanya telah bercerai,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 24 bulan bagi pertuduhan kedua terhadap Muhammad Bismi.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 September lalu.

Tiga Tertuduh Diberi Jaminan

Mahkamah turut membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing kepada Muhammad Ridwan dan remaja berusia 18 tahun.

Sementara itu, remaja berusia 16 tahun dibenarkan ikat jamin RM4,000.

Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes dan ketiga-tiga tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!