Bekas Guru KAFA Tendang Muka Murid Didenda RM2,000

Seorang bekas guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdullah Mustakim, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dengan menendang muka mangsa menggunakan kaki kanan.

Kejadian itu didakwa berlaku di dalam kelas 5 Usaha di sebuah sekolah rendah di Kuala Krai kira-kira jam 2.30 petang, 23 Oktober 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Murid Alami Kecederaan Pada Gusi

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 5.15 petang pada hari kejadian, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah dipukul oleh tertuduh dengan cara ditendang pada bahagian muka ketika mengikuti kelas KAFA.

Mangsa kemudian mengalami kecederaan pada bahagian gusi.

Selepas kejadian, tertuduh membawa mangsa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan.

Didenda RM2,000

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazaliza Fauzi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya denda berkenaan gagal dibayar.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!