Seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah disyaki mengugut untuk membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun dalam satu kejadian di Jalan Pak Mayong, Tok Bali pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu menyaksikan suspek bertindak membawa kanak-kanak berkenaan ke tepi sebuah jeti sambil memegang serpihan botol kaca yang dipercayai diambil di sekitar kawasan kejadian.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine, manakala punca kejadian masih dalam siasatan lanjut oleh pihak Polis Diraja Malaysia.
“Pemeriksaan fizikal mendapati kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dirujuk ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan lanjut serta pemantauan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
