Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan dan pengedaran air ketum menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dalam serbuan di sebuah pondok di kawasan ladang getah Kampung Bendang Kerian, Tumpat.
Serbuan yang dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada jam 7.30 petang, 11 Julai lalu itu dibuat hasil maklumat risikan.
Dalam operasi tersebut, tiga lelaki tempatan berjaya ditahan selepas dipercayai cuba melarikan diri ke kawasan semak sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
Hasil pemeriksaan di lokasi menemui sebuah pondok yang dipercayai dijadikan tempat memproses air ketum.
Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk dapur gas, tong gas, periuk, tong ais, penimbang, tiga kilogram daun ketum serta 138 bungkus air ketum.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,460.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Hasil soal siasat awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku memproses sendiri air ketum di pondok berkenaan sebelum menjualnya pada harga RM10 sebungkus.
Mereka dipercayai mampu menghasilkan kira-kira 100 bungkus air ketum sehari bagi pasaran tempatan.
Suspek turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang lelaki tempatan di Kampung Jubakar pada harga RM25 sekilogram mengikut keperluan.
Siasatan awal juga mendapati kegiatan tersebut dipercayai telah dijalankan hampir lima tahun dengan lokasi operasi yang sentiasa berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
PGA memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan risikan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan pemprosesan serta penjualan air ketum di kawasan tanggungjawab.
Sumber: Briged Tenggara PGA
