Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila Perodua Ativa yang dinaiki mereka merempuh seekor gajah liar di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Sungai Pergam, Kemaman pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.51 malam itu, pemandu, Amirul Afiq Aazmi, 31, mengalami luka di bahagian dada manakala isterinya, Farhain Jolius, 23, mengalami kecederaan ringan pada kaki dan dada.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pasangan terbabit ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Pasir Puteh, Kelantan selepas bercuti di Kuantan, Pahang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki Perodua Ativa dan sedang menghala ke arah Kuala Terengganu sebelum dikejutkan dengan kemunculan seekor gajah di atas jalan.
"Siasatan awal mendapati semasa kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Ativa menghala ke arah Kuala Terengganu, secara tiba-tiba seekor gajah berada di atas jalan dipercayai sedang melintas dari arah kanan ke kiri jalan.
"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat menekan brek lalu merempuh gajah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Mohd Razi berkata, selepas merempuh gajah berkenaan, kereta pasangan itu kemudiannya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 31 tahun.
"Kesan pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi turut mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki. Kesemua mangsa yang terjejas telah dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut," jelasnya.
Sementara itu, Amirul Afiq ketika ditemui di Hospital Kemaman berkata keadaan jalan yang gelap menyebabkan jarak penglihatannya terhad dan menyukarkan dia untuk mengelak gajah terbabit.
"Saya secara tiba-tiba ternampak seekor gajah melintas jalan kira-kira 10 meter di hadapan. Disebabkan keadaan laluan yang gelap, saya memang tak sempat tekan brek.
"Mujurlah saya dan isteri masih terselamat walaupun kereta remuk merempuh gajah sebelum dirempuh pula oleh kereta lain dari arah belakang," katanya.
Insiden berkenaan bukan kejadian pertama melibatkan gajah liar di laluan tersebut.
Pada 5 Ogos lalu, insiden hampir sama dilaporkan berlaku apabila sepasang suami isteri mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan mereka merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh.
Sumber: Sinar Harian
