Bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan beliau tidak berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun telah kembali menyertai UMNO.
Menurut laporan Berita Harian, Mustapa yang kini berusia 76 tahun berpandangan peluang untuk menjadi calon sepatutnya diberikan kepada golongan muda yang lebih layak.
“Saya kini sudah 76 tahun, jalan pun sudah goyang. Adalah tidak adil untuk mana-mana parti yang tidak menghargai peranan orang muda.
“Saya sudah keluar dari politik aktif dan saya tidak berminat untuk bertanding mana-mana PRU. Berilah kepada orang lain atau orang muda yang lebih layak.
“Sekarang ini ramai pengundi muda dan selera mereka lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Kelantan di Pasir Mas.
Turut hadir ialah Yang Dipertua MUBARAK Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak.
Bantu UMNO melalui pandangan dan strategi
Mengulas perancangannya selepas kembali menyertai UMNO, Mustapa berkata beliau akan membantu parti berdasarkan pengalaman yang dimiliki, khususnya dalam aspek strategi dan usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat.
“Dari segi tenaga saya sudah tidak kuat seperti dulu namun akan beri pandangan dan nasihat yang diperlukan. Saya juga akan menyertai program-program MUBARAK mengikut kesesuaian masa saya.
“Saya akan bersama dengan orang-orang lama dan kita mendoakan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.
Mustapa pada masa sama memaklumkan bahawa beliau tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan dalam parti.
Sebaliknya, beliau mahu jawatan tersebut diberikan kepada individu lain yang lebih layak, manakala dirinya akan terus menyumbang kepada negara menerusi penglibatan bersama institusi pengajian tinggi.
“Saya tetap menyumbang kepada negara seperti di universiti awam dan swasta. Untuk jawatan dalam parti bagilah kepada mereka yang layak,” katanya.
Sumber: Berita Harian
