Mengenang Kompleks Sukan Perdana yang Pernah Popular di Kota Bharu

Pada era 1980-an, Hotel Perdana Kota Bharu merupakan antara hotel utama di Kelantan yang menawarkan tempat penginapan premium kepada pengunjung.

Bersebelahan hotel tersebut berdiri sebuah bangunan yang dikenali sebagai Kompleks Sukan Perdana. Kompleks berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan sukan dalam dewan untuk kegunaan tetamu hotel dan ahli kelab.

gambar lama Hotel Perdana Kota Bharu

Hotel Perdana Kota Bharu sekitar tahun 2010


Antara kemudahan yang popular ketika itu ialah gelanggang tenis yang terletak di bahagian atas bumbung bangunan. Gelanggang tersebut sering digunakan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Kompleks berkenaan turut mempunyai gelanggang skuasy untuk peminat sukan dalam dewan, selain pusat kecergasan atau gimnasium yang menyediakan peralatan senaman asas.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk sebuah kolam renang bagi kegunaan tetamu hotel dan ahli kelab.

Pusat boling pertama di Kelantan

Kompleks Sukan Perdana turut menempatkan sebuah pusat boling yang dikenali sebagai Perdana Bowling Centre.

Pusat itu merupakan kemudahan boling pertama di Kelantan dan menjadi antara pusat boling utama serta terawal di Kota Bharu pada waktu berkenaan.

Perdana Bowling Centre mempunyai 12 lorong boling dan dilengkapi sebuah bar mini yang menyediakan minuman tidak beralkohol kepada pengunjung.

Namun, popularitinya semakin berkurangan selepas pusat boling yang lebih moden dibuka di pusat beli-belah sekitar Kota Bharu, termasuk Kota Sri Mutiara dan KB Mall. Perkembangan itu menyebabkan Kompleks Sukan Perdana semakin dilupakan.

Kompleks dirobohkan, tapak menjadi parkir

Hotel Perdana kemudiannya melalui proses pengubahsuaian besar dan penjenamaan semula. Hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Perdana itu kini dikenali sebagai Perdana Kota Bharu.

Bangunan hotel turut dinaik taraf menjadi bangunan tinggi, manakala Kompleks Sukan Perdana di sebelahnya dirobohkan sekitar 2015.

parking hotel perdana copy

Tapak bangunan Kompleks Sukan perdanan menjadi kawasan parkir hotel


Tapak yang pernah menjadi tumpuan aktiviti sukan dan boling masyarakat Kota Bharu itu kini digunakan sebagai kawasan parkir hotel.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!