Sebuah video yang memaparkan seorang individu orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda diusung oleh ahli keluarganya menaiki tangga ke tingkat atas Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu kembali tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Video yang pada asalnya dimuat naik di TikTok pada awal tahun ini itu kembali menjadi perhatian selepas dikongsikan semula di Threads.
Menerusi video berkenaan, keluarga tersebut dilihat mengangkat kerusi roda bersama seorang ahli keluarga untuk ke tingkat atas pasar.
Video itu turut disertakan kapsyen berbunyi, "Terima kasih kepada Pasar Besar Siti Khadijah Kelantan menyediakan kemudahan untuk OKU," yang dipercayai berbentuk sindiran terhadap kemudahan akses di lokasi berkenaan.
Ruangan komen dipenuhi pelbagai pandangan daripada pengguna media sosial.
Ada yang berpendapat keadaan di tingkat atas pasar mempunyai laluan yang sempit dan sukar untuk pergerakan kerusi roda.
"Atas tu jarak antara kedai sempit je mok cik.. buat susah orang nak lalu."
Sebahagian pengguna pula beranggapan orang ramai mempunyai pilihan untuk mengunjungi lokasi yang lebih mesra OKU.
"Mak saya pun berkerusi roda. Tak pernah pula saya bawa dia ke tempat macam ni. Kalau tak sesuai, kami pilih tempat lain."
Ada juga yang membandingkan Pasar Siti Khadijah dengan pasar-pasar lain di Malaysia yang kebanyakannya tidak dilengkapi lif.
"Saya tak pernah jumpa lagi pasar tradisional yang ada lif. Biasanya yang ada lif ialah pasar raya."
Namun begitu, ramai juga berpandangan isu tersebut wajar dilihat sebagai peluang untuk menambah baik kemudahan di salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di Kelantan.
Menurut mereka, penyediaan kemudahan seperti lif atau platform khas untuk pengguna kerusi roda mampu meningkatkan tahap aksesibiliti kepada semua pengunjung. #KelantanDaily
