Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke Kelantan berakhir tragedi apabila lori yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Lebuhraya Timur-Barat, Tanah Merah, awal pagi Selasa.
Ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada seorang pemandu dan dua kelindan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam lori lima tan berkenaan.
Foto: JBPM Kelantan
Menurut laporan Bernama, mangsa dikenal pasti sebagai pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, serta dua kelindan, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 16.
Sinar Harian melaporkan kejadian berlaku di Batu 7, Batang Merbau, manakala pasukan bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.26 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan I Mat Nuri Mohamad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang serta Tanah Merah digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Sejurus tiba di lokasi kami mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan membawa bekalan ayam dari Perak ke Kelantan dipercayai telah merempuh treler yang di parkir di tepi jalan berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa tersepit dan kemudian telah berjaya dikeluarkan,” katanya.
Ketiga-tiga Mangsa Meninggal Dunia di Lokasi
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 4.41 pagi dan menjalankan operasi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam lori.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.41 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan yang membawa bekalan ayam melanggar sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.
“Ketiga-tiga mangsa didapati tersepit di dalam lori. Anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.
Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
Operasi menyelamat yang membabitkan 12 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang serta Tanah Merah tamat pada jam 7.30 pagi.
Sumber: Bernama, Sinar Harian, JBPM Kelantan
