Projek Naik Taraf Jalan Dari Pasir Hor Ke Panchor Dijangka Siap September 2027

Projek menaiktaraf Jalan FT209 dan FT131 (Jalan Raja Perempuan Zainab II) dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor, Kota Bharu kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 71.61 peratus.

Projek sepanjang 6 kilometer dengan nilai kontrak RM191 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 8 September 2027.

Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan perkara itu selepas melakukan lawatan kerja ke projek berkenaan pada Khamis.

menteri kerja raya lawat jalan pasir hor panchor


Projek tersebut dilihat penting dan strategik berikutan laluan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan Pengkalan Chepa kini berdepan tahap kesesakan trafik yang tinggi setiap hari.

Keadaan itu turut dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk keadaan jalan yang sempit, kewujudan sekolah, pusat perdagangan serta Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sepanjang laluan berkenaan.

Selain menjadi laluan utama penduduk setempat, kawasan tersebut juga merupakan penghubung penting ke pusat perindustrian Pengkalan Chepa serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Melalui pelaksanaan projek ini, kerajaan menyasarkan pengurangan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131 selain memendekkan tempoh perjalanan serta menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.

Keperluan menaiktaraf laluan itu juga semakin penting susulan pembangunan pesat di Kubang Kerian yang kini merupakan bandar kedua terbesar di Kota Bharu.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) terus memberi keutamaan kepada projek berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat selain menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat.

Sumber: KKR

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!