Cubaan menyeludup masuk 14 ekor lembu pedaging dipercayai dari negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan di Tanah Merah, malam tadi.
Menurut laporan Bernama, rampasan dilakukan kira-kira jam 8 malam selepas anggota Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menahan sebuah lori Hino 500 dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga lampu isyarat Gual Ipoh.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 14 ekor lembu pedaging, namun pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan.
Siasatan awal mendapati kesemua lembu itu dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.
Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dari Kampung Batu 11, Jalan Jedok, Tanah Merah turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Ahmad Radzi, lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM250,000, manakala 14 ekor lembu pedaging seberat kira-kira 5,600 kilogram dianggarkan bernilai RM84,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM334,000.
Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan lori yang ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan daripada dikesan pihak berkuasa selain memilih bergerak pada waktu senja hingga malam untuk mengurangkan risiko pemeriksaan.
Tambahnya, kejayaan itu hasil risikan serta rondaan berterusan Cawangan Risik Batalion 9 PGA yang berjaya memutuskan rantaian penyeludupan ternakan di kawasan sempadan serta menghalang kemasukan haiwan tanpa permit yang boleh menjejaskan aspek biosekuriti negara.
Ahmad Radzi berkata, kerjasama strategik antara PGA dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan akan terus diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan ternakan di negeri ini.
Sumber: Bernama
