Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas sebanyak 1,260 anak pokok durian yang dipercayai melanggar Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Mek Pit, Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Rampasan itu dilakukan kira-kira jam 5.30 petang oleh anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu selepas menahan sebuah lori Isuzu yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan di kawasan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa 1,000 anak pokok durian varieti Duri Hitam dan 260 anak pokok durian varieti D99.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu lori berkenaan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen yang memenuhi keperluan berkaitan pengangkutan anak pokok tersebut.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu lori berkenaan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen yang memenuhi keperluan berkaitan pengangkutan anak pokok itu.
“Kes disyaki melanggar Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) kerana anak pokok yang dibawa dipercayai berisiko membawa serangga perosak dan penyakit.”
Menurut beliau, nilai keseluruhan anak pokok yang dirampas dianggarkan RM60,400, manakala lori yang digunakan bernilai kira-kira RM150,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM210,400.
Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat nurseri milik keluarganya di Rantau Panjang dan menerima bayaran berdasarkan perjalanan serta kuantiti penghantaran.
“Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar anak pokok berkenaan ke Pengkalan Hulu, Perak bagi memenuhi permintaan pelanggan.”
Ahmad Radzi berkata, semua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memaklumkan operasi pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penyeludupan anak pokok yang berisiko membawa penyakit dan serangga perosak di kawasan sempadan.
Sumber: Bernama
