Kementerian Kerja Raya (KKR) kini memantau secara rapi 50 projek sakit yang dikenal pasti daripada keseluruhan 865 projek di bawah kementerian itu bagi memastikan pelaksanaannya dapat kembali mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 5.7 peratus daripada keseluruhan projek KKR di seluruh negara.
Menurut beliau, di Kelantan hanya tujuh daripada 104 projek di bawah KKR dikategorikan sebagai projek sakit.
Beliau menjelaskan antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan projek ialah masalah kewangan dan pengurusan syarikat, selain isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta kewujudan lot timbul yang tidak dikenal pasti pada peringkat awal pelaksanaan.
“Setiap projek sakit di Malaysia memang kita kawal dan pantau rapi supaya kita boleh putuskan sama ada ia perlu ditamatkan atau sebaliknya.
“Namun, apabila peratusan projek sakit itu hampir siap, iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus mungkin kita boleh bagi lanjutan masa (EOT) memandangkan kalau kita tamatkan (projek) berkenaan kos akan lebih meningkat untuk melantik kontraktor lain.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor di Kota Bharu.
Alexander Nanta berkata, isu projek sakit turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa dan menentukan tindakan yang perlu diambil.
“Saya juga sudah melantik timbalan saya sebagai mengetuai serta memantau projek sakit di seluruh negara agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Setiap minggu perkara ini akan dipantau.
“Bagi projek yang didapati gagal menunjukkan prestasi memuaskan tindakan akan diambil termasuk ada kontraktor yang telah digugurkan dan ditamatkan.”
Beliau berkata, setiap keputusan dibuat secara teliti mengikut tatakelola yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko tindakan undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan projek menaik taraf Jalan FT209 dan FT131 di Kota Bharu yang bernilai RM191 juta dijangka siap pada September tahun depan.
Menurutnya, projek itu bertujuan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131, khususnya laluan dari Kubang Kerian ke Sabak dan Pengkalan Chepa yang kini mengalami kesesakan trafik setiap hari.
Sumber: Bernama
