Kes Bayi Diculik Hospital Tanah Merah Masih Hantui Keluarga Selepas 10 Tahun

Bagi Siti Norbaiti Bahanaharing, 36, setiap kali kisah penculikan bayi di Hospital Tanah Merah kembali tular di media sosial, kenangan hitam yang berlaku hampir sedekad lalu kembali menghantui dirinya.

Menurut laporan Sinar Harian, peristiwa pada 15 November 2016 itu berlaku ketika bayi mereka sedang dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah akibat penyakit kuning.

Suaminya, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 39, berkata, sekitar jam 9 malam mereka ke wad untuk membolehkan isterinya menyusukan bayi berkenaan.

Namun selepas dia meninggalkan isterinya seketika dan kembali kira-kira 15 minit kemudian, bayi mereka sudah tiada di atas katil.

“Saya terkejut. Pada mulanya kami sangka jururawat membawanya menjalani pemeriksaan darah kerana penyakit kuning.

“Namun selepas jururawat menafikannya, kami mencari di seluruh wad tetapi gagal menemuinya,” katanya.

Tidak lama kemudian, seorang pengawal keselamatan memaklumkan bayi itu sebenarnya telah dibawa keluar dari wad sekitar jam 6.47 petang oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya ahli keluarga.

Siasatan polis kemudian mendapati penculikan itu dipercayai telah dirancang lebih awal.

Seorang wanita dikatakan beberapa hari berlegar-legar di wad dengan memakai pakaian bersalin dan menyamar sebagai ibu yang baru melahirkan anak.

Dia dan suaminya turut memperkenalkan bayi itu kepada jururawat sebagai anak mereka sendiri sebelum lelaki terbabit melengkapkan prosedur discaj serta membayar caj keluar wad sebanyak RM20.50.

Malah, pasangan itu dipercayai sudah menamakan bayi tersebut sebagai Nur Amyra Sofea Mohd Ihtisyamuddin dengan hasrat membesarkannya sendiri selepas kehilangan bayi kembar akibat keguguran beberapa bulan sebelum kejadian.

Tanpa membuang masa, Mohd Ihtisyamuddin membuat laporan polis.

Hasil semakan buku pendaftaran pelawat hospital membawa kepada penubuhan pasukan khas, sebelum polis berjaya mengesan pasangan terbabit bersama bayi mereka di Selising, Pasir Puteh, kurang dua jam selepas laporan dibuat.

Sekitar tengah malam, pasangan itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, namun hanya dibenarkan melihat bayi mereka dari jauh kerana doktor dan jururawat perlu membuat pemeriksaan kesihatan serta mengesahkan identitinya terlebih dahulu.

“Dia menangis tanpa henti kerana bersyukur anak yang hilang akhirnya berada di depan mata.

“Walaupun hanya berpisah beberapa jam, ketika itu kami rasa seolah-olah kehilangannya selama-lamanya,” katanya.

Bayi mereka ditemukan dalam keadaan pakaiannya sudah ditukar sepenuhnya termasuk baju, seluar dan sarung tangan.

Pasangan penculik kemudian didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Wanita berkenaan dilaporkan dipenjara enam bulan manakala suaminya dikenakan perintah parol selama dua tahun.

Namun bagi keluarga ini, hukuman tersebut tidak pernah menghapuskan trauma yang ditinggalkan.

Siti Norbaiti mengambil keputusan berhenti kerja demi memberi sepenuh perhatian kepada anak-anaknya.

Kini, setiap kali kisah itu kembali diperkatakan atau tular di media sosial, mimpi ngeri tersebut seolah-olah berulang semula.

“Trauma itu masih ada. Bila orang bercakap semula mengenai kes ini atau ia tular di media sosial, saya akan teringat semuanya,” kata Mohd Ihtisyamuddin.

Kini mereka mempunyai dua cahaya mata iaitu seorang anak lelaki berusia 12 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun yang pernah menjadi mangsa penculikan tersebut.

Walaupun membesar seperti kanak-kanak lain, anak perempuan mereka sangat sensitif, sukar mempercayai orang lain dan amat berhati-hati terutama dengan lelaki.

Menurut Siti Norbaiti, jika ada ibu atau bapa rakannya mahu menumpangkannya pulang dari sekolah, anaknya akan menghubungi ibu bapanya terlebih dahulu sebelum bersetuju menaiki kenderaan tersebut.

“Itulah cara dia. Dia sangat berhati-hati,” katanya.

Anak mereka juga mengetahui kisah penculikan yang pernah berlaku terhadap dirinya dan sering bertanya mengenai kejadian itu setiap kali berita lama kembali tular.

Pasangan itu masih menyimpan keratan muka depan Sinar Harian yang melaporkan kejadian berkenaan sebagai sebahagian daripada sejarah hidup mereka.

Walaupun tidak lagi menyimpan dendam terhadap pasangan penculik tersebut, mereka mengakui masih menyimpan satu rasa terkilan.

Sehingga hari ini, pasangan berkenaan mahupun ahli keluarga mereka tidak pernah tampil memohon maaf.

“Sepatah perkataan maaf pun kami tidak pernah dengar daripada mereka. Itulah satu-satunya perkara yang buat kami masih terkilan,” kata Mohd Ihtisyamuddin.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!