Kerajaan Kelantan Minta Rakyat Bersabar, Masalah Air Dijamin Selesai Dalam Dua Tahun

Penduduk Kelantan yang sudah lama berdepan masalah bekalan air diminta terus bersabar kerana kerajaan negeri memberi jaminan isu tersebut akan diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, beberapa projek utama bekalan air yang sedang dilaksanakan dijangka mula memberi impak kepada rakyat bermula tahun depan sebelum sasaran penyelesaian menyeluruh dicapai menjelang 2030.

Menurut beliau, projek Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 bernilai RM55 juta dijangka siap sepenuhnya pada September ini. Selain itu, projek LRA Kelar dijangka mula beroperasi sekitar Mac 2027, manakala LRA Tok Bali pula dijadualkan siap pada 2028.

"Lama dah tak ada air, puluh-puluh tahun boleh sabar, dua tahun lagi... sabar sikit lagi.

"Jangan apabila dah hampir ke garisan penamat, kita pula dah tak larat. Insya-ALLAH menjelang 2030 kita boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti bekalan air kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LRA Chicha 2 di Pasir Hor, pada Ahad.

Dr Izani turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan kapasiti pengeluaran air sebanyak 800 juta liter sehari (MLD) menjelang 2030, berbanding keperluan semasa penduduk yang dianggarkan sekitar 600 MLD sehari.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dengan sasaran menurunkannya daripada lebih 50 peratus ketika ini kepada 40 peratus menjelang 2030 melalui penggantian kira-kira 150 hingga 200 kilometer paip setiap tahun.

Menurut beliau, kehilangan air akibat kebocoran paip yang tinggi menyebabkan sebahagian besar air terawat gagal sampai ke rumah pengguna.

"Apabila paip lama diganti dan kebocoran dapat dikurangkan, lebih banyak air yang dihasilkan akan sampai ke rumah-rumah pengguna," katanya.

Beliau berkata, matlamat jangka panjang kerajaan negeri adalah memastikan seluruh rakyat Kelantan menikmati bekalan air paip AKSB menjelang tahun 2050, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada telaga tiub, sungai dan sumber air persendirian lain.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!