Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan setiap kawasan hutan simpan yang dibatalkan pewartaannya bagi tujuan pembangunan atau penerokaan akan digantikan dengan kawasan lain bagi memastikan keluasan hutan simpan di negeri itu terus dipelihara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jaminan itu turut meliputi isu penyahwartaan Hutan Simpan Temangan di Machang yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan granit.
“Sebenarnya isu berbangkit di kawasan Hutan Simpan Temangan adalah berkaitan kelulusan yang diberikan bagi tujuan perlombongan granit pada 2009.
“Sejak 2009, kelulusan itu telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan perlombongan granit di Hutan Simpan Temangan,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.
Menurut beliau, kawasan berkenaan baru-baru ini dinyahwartakan sebagai hutan simpan bagi membolehkan kelulusan yang diberikan sebelum ini dilaksanakan.
Beliau berkata, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung status penggantian kawasan hutan simpan tersebut.
“Saya telah berhubung dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bagi mendapatkan kepastian mengenai status penggantian hutan simpan itu. Pihak Perhutanan Negeri Kelantan memberi jaminan bahawa mana-mana hutan simpan yang dibatalkan perlu diganti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa menerusi tajaan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Penyelenggaraan Pesawat di Universiti Dongyang Mirae, Korea Selatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, seramai 10 pelajar tahfiz dipilih sebagai kumpulan perintis dan dijangka berlepas ke Korea Selatan pada Ogos ini sebelum memulakan pengajian selama tiga tahun bermula September.
Menurut beliau, setiap pelajar menerima tajaan kerajaan negeri sebanyak RM130,000 sepanjang tempoh pengajian selain kemudahan penginapan percuma yang disediakan universiti.
“Setiap pelajar menerima tajaan kerajaan negeri sebanyak RM130,000 bagi tempoh pengajian, selain kemudahan penginapan percuma yang disediakan oleh universiti berkenaan.
“Program ini direka khusus dengan penekanan yang seimbang terhadap teori, latihan dan praktikal intensif, selain memberi pendedahan terus kepada standard universiti sebenar,” katanya.
Wan Roslan berkata, program julung kali itu bertujuan melahirkan pelajar tahfiz yang memiliki kemahiran profesional selaras dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan hasil lawatan delegasi kerajaan negeri ke Korea Selatan pada 7 hingga 12 Julai lalu yang memberi tumpuan kepada peluang pendidikan serta latihan kemahiran bertaraf antarabangsa untuk anak Kelantan.
Beliau berkata, Yayasan Islam Kelantan turut memeterai Memorandum Persefahaman dengan Universiti Dongyang Mirae dan Korea Aviation Academy bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan serta latihan teknikal penyelenggaraan pesawat.
Sumber: Bernama
