Cubaan pertama seorang lelaki membawa masuk 700 kilogram (kg) durian dari Thailand berakhir selepas dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Abe Li Posmen, Rantau Panjang pada Khamis.
Lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa dia baru pertama kali ke kawasan berkenaan dan hanya berpandukan aplikasi Waze selepas diarahkan majikannya untuk mengambil durian yang telah menunggu di tebing sungai.
Buah berkenaan dipercayai hendak dibawa ke Pasir Puteh untuk tujuan jualan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan kira-kira jam 7.15 malam.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat 700kg durian yang disimpan di bahagian tempat duduk belakang serta ruang muatan kenderaan tersebut.
Namun, pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan buah-buahan yang dibawa.
"Suspek ditahan dan kenderaan bersama muatan durian dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah Mitsubishi Triton dianggarkan RM53,500," katanya.
Siasatan awal mendapati durian tersebut ditempah oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Kak Ya’, manakala suspek hanya diarahkan mengambil buah yang telah berada di tebing sungai sebelum menghantarnya ke lokasi jualan di Pasir Puteh.
Suspek turut memaklumkan dia bekerja secara sambilan dengan menerima upah antara RM60 hingga RM70 bergantung kepada hasil jualan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Pihak PGA turut memaklumkan pemeriksaan dan pemantauan di pangkalan haram akan terus dipertingkat bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
Sumber: Sinar Harian
