Gari, Acu Pistol Dan Bawa Mangsa Ke Thailand, Buruh Dipenjara Empat Tahun

Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan didenda keseluruhan RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ahad selepas mengaku bersalah menculik abang kepada seorang lelaki yang didakwa berhutang serta mencuri kereta milik penghutang berkenaan, bulan lalu.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Mangsa Diculik Kerana Adik Didakwa Berhutang

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Mohd Shahrul Nizam Mohd Asri, 35, di sebuah rumah di Jalan Sungai Tendong, Pasir Mas kira-kira jam 3.30 petang pada 6 Jun lalu dengan niat mengurung mangsa secara salah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama individu sama didakwa mencuri sebuah Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik Mohd Asri, 25, di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Diacukan Pistol, Dibawa Ke Thailand

Berdasarkan fakta kes, Mohd Shahrul Nizam berada di rumah keluarganya di Tendong sebelum didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah Perodua MyVi berwarna putih.

Tiga daripada suspek kemudian turun dan bertanyakan mengenai adik mangsa, Mohd Taufik, namun dimaklumkan lelaki itu tiada di rumah.

Mangsa kemudian digari dan dibawa ke sebuah bilik berhampiran dapur sebelum salah seorang suspek mengacukan pistol sambil bertanya, "mana Taufik? Dia tak bayar duit aku."

Suspek turut meminta mangsa menunjukkan lokasi kunci kereta milik Mohd Taufik sebelum mengambilnya dan melarikan kenderaan itu.

Semasa kejadian, bapa mangsa yang berada di rumah turut diugut menggunakan pistol dan diarahkan supaya tidak masuk campur.

Mata dan mulut mangsa turut ditutup menggunakan pita pelekat sebelum dia dimasukkan ke dalam kereta dan dibawa ke Thailand melalui pangkalan haram, manakala seorang lagi suspek memandu keluar Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis.

Mangsa dikurung di sebuah rumah di Thailand sebelum dibebaskan dan diselamatkan polis Thailand pada 7 Jun lalu.

Suspek Ditahan Di Terengganu

Mohamad Syamsul Azroy ditahan di Ajil, Terengganu pada 16 Jun lalu dan mangsa berjaya mengecamnya sebagai individu yang memegang pistol serta bertanyakan mengenai Mohd Taufik ketika kejadian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Na'ilah Harizan mengemukakan kira-kira 10 keping gambar berkaitan kes termasuk sebuah Perodua MyVi yang dibakar dan kesemuanya diakui tertuduh.

Pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, selain penggunaan pistol ketika penculikan yang menunjukkan tertuduh bertindak nekad dan berbahaya.

"Mangsa turut dilarikan sehingga ke Thailand menyebabkan trauma dan kesan yang besar kepada mangsa, justeru hukuman penjara yang panjang wajar dikenakan demi keselamatan awam," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan serta memohon hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan selain memaklumkan dirinya masih bujang.

Mahkamah kemudian mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan berdasarkan pengakuan bersalahnya.

Bagi pertuduhan menculik, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh ditangkap serta denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan mencuri pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, dengan kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Kerajaan Cadang LPT3 Secara Kerjasama Awam Swasta Berikutan Kekangan Kewangan
|
Cadangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3)…
Dua Wanita Antara Enam Individu Didakwa Seludup 10 Migran Bangladesh
|
Enam individu termasuk dua wanita dan seorang warga Thailand…
Mekanik Direman Kes Rogol Dan Samun Remaja Ketika Joging Di Tumpat
|
Selepas hampir sebulan kejadian yang menggemparkan penduduk Palekbang, Tumpat,…
Polis Tahan Lelaki Rohingya, Disiasat Kes Rogol Remaja Di Bachok
|
Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama enam hari selepas…
Program Disko Retro Di Kota Bharu Disiasat, Pemilik Restoran Dakwa Tidak Tahu
|
Apa yang pada mulanya dipercayai hanya sebuah majlis tertutup…
Dari Pasar Siti Khadijah Ke Spa Moden, Mandi Bunga Masih Popular Di Kelantan
|
Di Sebalik Haruman Bunga, Ada Tradisi Lama Yang Masih…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!