Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat melahirkan bakat bola sepak di Malaysia sehingga mendapat gelaran sebagai "kilang pemain". Ramai pemain kebangsaan lahir dari bumi Cik Siti Wan Kembang, manakala pasukan-pasukan dari negeri ini pula pernah merancakkan saingan Liga Malaysia selama beberapa dekad.
Walaupun sebahagian daripadanya sudah tidak lagi aktif, sejarah yang ditinggalkan tetap menjadi sebahagian daripada perkembangan bola sepak negara.
Berikut ialah 12 pasukan bola sepak dari Kelantan yang pernah sekurang-kurangnya beraksi di divisyen ketiga dalam piramid Liga Malaysia.
Kelantan FC
Kelantan FC merupakan pasukan utama dari negeri ini dengan gelaran The Red Warriors.
Sejarahnya bermula pada tahun 1946 menerusi Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) sebelum dikenali sebagai Kelantan FA. Pasukan ini pernah mencipta pelbagai kejayaan termasuk mara sehingga suku akhir Piala AFC 2012.
Tahun 2012 menjadi musim paling gemilang apabila Kelantan FA merangkul kejuaraan treble selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Kelantan FA menjadi juara Piala FA 2012 | Foto: AFC
Pada tahun 2020, Kelantan FA diswastakan sepenuhnya dan dijenamakan sebagai Kelantan FC. KAFA kemudian menjual kelab itu kepada Norizam Tukiman dengan nilai RM6.8 juta.
Namun selepas kali terakhir beraksi dalam Liga Super pada musim 2023, Kelantan FC mengumumkan penarikan diri daripada Liga Malaysia akibat masalah kewangan dan tunggakan hutang. Sehingga kini kelab tersebut masih tidak aktif.
Kelantan The Real Warriors FC
Pasukan ini memulakan perjalanan dalam Liga FAM pada tahun 2016 dengan nama MPKB-BRI UBES FC atau Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Football Club.
Nama tersebut pernah mendapat perhatian kerana dikatakan menjadi antara nama kelab bola sepak paling panjang di dunia ketika itu.
Pada tahun 2017, kelab ini dijenamakan sebagai Kelantan United sebelum berjaya melangkah ke Liga Super buat kali pertama pada musim 2023.
Bagi musim 2024/2025, nama kelab sekali lagi ditukar kepada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), sebelum dijenamakan semula sebagai Kelantan The Real Warriors FC (KTRW) bagi musim 2025/2026.
Skuad KTRW bagi musim 2025/2026 | Foto KTRW
Bagaimanapun selepas musim tersebut berakhir, KTRW disingkirkan daripada Liga Super akibat masalah kewangan dan tunggakan gaji. Sehingga kini, kelab itu masih belum mengumumkan sama ada akan terus bersaing dalam Liga Malaysia.
Kelantan City FC
Kelab ini ditubuhkan pada tahun 2014 dengan nama Wan Tendong Stable FC (WTS FC).
Prestasi mereka semakin meningkat apabila muncul naib juara Liga A2 musim 2024/2025 sekali gus layak ke Liga A1.
Pada tahun 2025, nama kelab ditukar kepada Kelantan WTS sebelum dijenamakan sebagai Kelantan City FC pada 2026 selepas kemasukan beberapa bekas pemain skuad Treble 2012 ke dalam pengurusan.
Barisan pemain Kelantan City FC bagi musim 2026/2027 | Foto: Kelantan City FC
Kelantan City FC kini masih aktif dan bakal bersaing dalam Liga A1 musim 2026/2027.
Kelantan Red Warrior FC
Kelantan Red Warrior FC atau KRW FC merupakan antara kelab paling baharu dari Kelantan.
Ia ditubuhkan pada tahun 2024 selepas usaha mengambil alih Kelantan FC gagal mencapai persetujuan.
Kelab ini berjaya bersaing dalam Liga A1 musim 2025/2026 sebelum memperoleh promosi secara merit ke Liga Super musim 2026/2027.
Skuad KRW FC pada musim 2025/2026 | Foto: Kelantan Red Warrior FC
Namun begitu, KRW FC berdepan sekatan perpindahan daripada FIFA kerana identiti kelab yang terlalu mirip dengan Kelantan FC yang masih mempunyai isu tunggakan gaji.
Kelab itu dijangka melakukan penjenamaan semula sebelum bermula liga bagi mengelakkan kekeliruan dan sekaligus tidak lagi dikaitkan dengan isu hutang Kelantan FC.
AZM Rovers FC
AZM Rovers FC ditubuhkan pada tahun 2022.
Pada musim 2025/2026, kelab ini muncul juara Liga A2 sekali gus memperoleh slot ke Liga A1 musim berikutnya.
Walaupun baru diterima sebagai Ahli Gabungan FAM, AZM Rovers membuat keputusan untuk tidak menghantar pasukan ke Liga Malaysia musim 2026/2027.
Barisan pemain AZM Rovers FC bagi musim 2025/2026 | Foto: AZM Rovers FC
Sebaliknya, kelab memilih memberi fokus kepada pengukuhan pengurusan, pembangunan akar umbi, pembangunan bakat muda serta program komuniti di Kelantan.
Tok Janggut Warriors FC
Berpangkalan di Pasir Puteh, Tok Janggut Warriors FC pernah bersaing dalam Liga M3 pada musim 2022.
Kesebelasan utamam TJW FC pada 2022 : Foto Tok Janggut Warriors FC
Namun selepas tersingkir daripada liga tersebut, nama kelab itu terus hilang dalam arena bola sepak Malaysia.
Kijang Rangers FC
Kijang Rangers FC layak ke Liga M3 pada tahun 2021.
Bagaimanapun, saingan tersebut dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Skuad Kijang Rangers FC musim 2022 | Foto Kijang Rangers FC
Kelab itu kembali layak ke Liga M3 pada musim 2022 tetapi gagal mempertahankan kedudukan sebelum tersingkir bersama Tok Janggut Warriors FC.
Tumpat FA
Sebagai ahli gabungan KAFA, Tumpat FA pernah beraksi dalam Liga FAM musim 2013.
Pemain Tumpat FA pada tahun 2013 | Foto: shazlishamsuddin
Walaupun menamatkan saingan di tangga kelapan daripada 11 pasukan, kelab itu mengambil keputusan menarik diri daripada saingan untuk musim berikutnya.
TNB Kelantan
TNB Kelantan merupakan antara pasukan yang cukup dikenali sekitar era 1990-an.
Pasukan ini pernah muncul naib juara Piala FAM pada tahun 1998 sebelum layak ke Liga Perdana 2 pada 1999.
Barisan pemain TNB Kelantan pada tahun 2005 | Foto: Che Din
Kali terakhir mereka beraksi ialah dalam Liga Premier Malaysia musim 2005/2006.
JKR Kelantan
JKR Kelantan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala FAM dua tahun berturut-turut pada 1999 dan 2000.
Kejayaan itu membolehkan mereka beraksi dalam Liga Perdana 2 bagi musim 2000 dan 2001.
Pasukan JKR Kelantan pada tahun 1997 | Foto: RJ Rosli
Pencapaian terbaik pasukan ialah menamatkan musim di tangga keempat Liga Perdana 2 pada tahun 2000.
JPS Kelantan
JPS Kelantan muncul juara Piala FAM pada tahun 2002 sebelum beraksi selama dua musim dalam Liga Premier Malaysia.
Pasukan JPS Kelantan pada tahun 2004 | Foto: RJ Rosli
Pada ketika itu, Kelantan mempunyai empat wakil dalam divisyen kedua iaitu Kelantan FA, TNB Kelantan, SKMK Kelantan dan JPS Kelantan.
SKMK Kelantan
SKMK Kelantan atau Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan turut menjadi antara pasukan yang pernah mengharumkan nama negeri.
Pasukan SKMK Kelantan pada tahun 1987 | Foto: RJ Rosli
Bermula di Piala FAM, kelab ini berjaya beraksi dalam Liga Perdana 2 selama tiga musim dari tahun 2002 hingga 2004.
Selain 12 pasukan ini, dua lagi nama yang pernah mencipta kejayaan dalam Piala FAM ialah LKPP Kelantan yang muncul naib juara pada tahun 1975 serta Kelab Kilat Kota Bharu yang dinobatkan sebagai juara bersama pada tahun 1977.
Walaupun sebahagian besar pasukan ini sudah tidak lagi aktif, sejarah mereka membuktikan bahawa Kelantan pernah menjadi antara negeri paling rancak dalam pembangunan bola sepak Malaysia dan melahirkan begitu banyak kelab yang pernah bersaing di pentas nasional. #KelantanDaily
