Kuota RON95 BUDI95 Mungkin Dikurangkan Kepada 150 Liter Sebulan

Kuota penggunaan bahan api RON95 bulanan di bawah program BUDI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sebulan, selaras dengan usaha kerajaan memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Walaupun belum ada garis masa khusus ditetapkan, langkah pengurangan kuota itu dilihat berkemungkinan dilaksanakan memandangkan program BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci, sekali gus membolehkan kerajaan membuat pelarasan subsidi secara lebih fleksibel mengikut situasi semasa.

Kuota Kini 200 Liter, Sebelum Ini 300 Liter

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kuota penggunaan semasa ialah 200 liter sebulan, yang telah dikurangkan daripada kuota asal 300 liter sebulan.

Menurut beliau, data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan jauh lebih rendah daripada had kuota yang ditetapkan.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan,” katanya.

Majoriti Rakyat Guna Kurang 150 Liter Sebulan

Chin Tong berkata, jika kuota diturunkan kepada 150 liter, kesannya juga masih dijangka minimum kepada majoriti rakyat.

Katanya, 60 peratus populasi menggunakan kurang daripada 150 liter, manakala 50 peratus menggunakan kurang daripada 100 liter sebulan.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Fireside Chat bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' sempena AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026 anjuran AFFIN Group di Kuala Lumpur.

Fokus Lindungi Golongan Rentan, Termasuk Penunggang Motosikal

Dalam pada itu, Chin Tong menegaskan langkah kawalan penggunaan bahan api amat penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.

Beliau turut menekankan kepentingan melindungi golongan berpendapatan rendah serta pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan jika harga bahan api meningkat mendadak.

Menurutnya, pengguna motosikal dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan wajar terus menikmati subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih berat.

Pendekatan itu, katanya, juga penting untuk kestabilan sosial dan politik negara agar golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Subsidi Bahan Api Naik Hampir 10 Kali Ganda

Dalam perkembangan berkaitan, Chin Tong memaklumkan perbelanjaan bulanan kerajaan bagi subsidi bahan api dilaporkan meningkat hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah melonjak susulan peningkatan konflik geopolitik di Asia Barat pada akhir Februari.

Subsidi Diesel Bersasar Sabah Sarawak Masih Dalam Perancangan

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan masih dalam perancangan mekanisme subsidi diesel bersasar untuk Sabah dan Sarawak, seiring pendekatan yang digunakan bagi BUDI95.

Dalam jangka panjang, Chin Tong menegaskan Malaysia perlu mempercepatkan pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi serta perancangan bandar yang lebih padat bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.76 Juta Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk…
Kali Pertama Seludup Arak Dari Thailand, Dua Lelaki Dicekup PGA Di Rantau Panjang
|
Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras…
Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Istilah Rohingya Hanya Muncul Sekitar 1950an, Dari Mana Datangnya Etnik Ini Sebenarnya?
|
Istilah “Rohingya” hari ini dikenali di seluruh dunia sebagai…
Penerbangan Sulung Kota Bharu-Jakarta Cipta Sejarah Baharu Buat Kelantan
|
Sejarah baharu tercipta apabila penerbangan sulung AirAsia bagi laluan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!