Kos Penternakan Tinggi Punca Amalan Lepas Bebas Lembu Masih Berlaku Di Kelantan

Tekanan kos penternakan yang semakin meningkat dipercayai menjadi antara faktor utama amalan melepaskan lembu secara bebas masih berlaku di Kelantan, sekali gus mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya terutama di laluan utama pada waktu malam.

Di sebalik pelbagai usaha pihak berkuasa membendung isu haiwan rayau, masih terdapat penternak yang memilih kaedah tradisional dengan membiarkan ternakan mencari makanan sendiri di kawasan ragutan terbuka bagi mengurangkan kos makanan serta pembinaan kandang.

Kos Dedak Dan Kandang Semakin Tinggi

Pengerusi Persatuan Jurusuntik Permanian Beradas Negeri Kelantan, Harun Hazim Zakaria berkata, kenaikan harga dedak, makanan ternakan serta kos membina kandang dan pagar menyebabkan sesetengah penternak mengambil jalan mudah dengan melepaskan ternakan tanpa kawalan berterusan.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian persatuan itu, masalah haiwan rayau lebih ketara di kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan yang mempunyai padang ragut luas berbanding kawasan bandar yang kebanyakannya menggunakan sistem kandang.

“Apabila kawasan ragutan berhampiran dengan jalan utama, risiko kemalangan menjadi lebih tinggi kerana haiwan boleh melintas secara tiba-tiba dan mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa penyelesaian isu tersebut memerlukan kerjasama antara kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penternak menerusi pendidikan berterusan, penguatkuasaan yang lebih konsisten serta penggunaan sistem penandaan atau tagging bagi memudahkan pemilik ternakan dikenal pasti.

Ada Penternak Labur Lebih RM100,000 Bina Kandang

Sementara itu, penternak dari Kampung Jambu Merah, Melor, Mohamad Syahir Syazwan Zakaria berkata beliau memilih menggunakan sistem kandang walaupun terpaksa membelanjakan lebih RM100,000 untuk membina kandang besi yang mampu menempatkan lebih 100 ekor lembu.

Katanya, pelaburan itu penting bagi memastikan keselamatan awam selain memudahkan kawalan ternakan secara lebih sistematik.

Menurutnya, kos makanan ternakan ketika ini boleh mencecah antara RM50 hingga RM60 sehari, namun penternak yang tidak mampu membina kandang besar sekurang-kurangnya perlu menyediakan pagar ringkas bagi mengelakkan ternakan berkeliaran.

Seorang lagi penternak, Raja Mohammad Lukman Raja Ibrahim berkata, kos membina kandang untuk 20 ekor lembu boleh mencecah kira-kira RM15,000 menyebabkan ada penternak memilih sistem “lembu ladang” dengan melepaskan ternakan di kawasan kelapa sawit bagi menjimatkan kos.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kaedah tersebut memerlukan pemantauan rapi supaya tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Kemalangan Libatkan Lembu Terus Membimbangkan

Dalam pada itu, penternak Ahmad Yusri Abdul Rahman berpendapat tekanan kos akibat harga daging yang rendah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan awam.

Beliau turut menyokong tindakan tangkap dan sita terhadap ternakan yang dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan.

Tahun lalu, sebanyak 191 kemalangan membabitkan lembu direkodkan di Gua Musang dengan jumlah kerugian melebihi RM1.14 juta.

Laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli pula dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berikutan kekerapan kemalangan melibatkan haiwan ternakan, terutama pada waktu malam dan ketika hujan lebat.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.76 Juta Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk…
Kali Pertama Seludup Arak Dari Thailand, Dua Lelaki Dicekup PGA Di Rantau Panjang
|
Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras…
Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Istilah Rohingya Hanya Muncul Sekitar 1950an, Dari Mana Datangnya Etnik Ini Sebenarnya?
|
Istilah “Rohingya” hari ini dikenali di seluruh dunia sebagai…
Penerbangan Sulung Kota Bharu-Jakarta Cipta Sejarah Baharu Buat Kelantan
|
Sejarah baharu tercipta apabila penerbangan sulung AirAsia bagi laluan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!