Kelantan Letak Tong Air Kekal Di Kawasan Terjejas Menjelang Aidiladha

Kerajaan Kelantan akan meletakkan tong air secara kekal di kawasan yang sering berdepan gangguan bekalan air menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, langkah itu diambil susulan masih terdapat kawasan yang belum menerima bekalan air mencukupi, selain isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang masih berada pada tahap tinggi.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) juga bersedia menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas sekiranya berlaku gangguan sepanjang musim perayaan.

“Kita tahu ada kawasan tertentu masih tidak cukup air dan kita cuba sebaik mungkin untuk diagihkan kepada pengguna.

“Bagi kawasan yang langsung tiada akses air, kita akan terus bergantung kepada lori air selain meletakkan tong-tong air di kampung dalam kuantiti lebih banyak berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu pada Rabu.

Dr Izani berkata, tong air yang diletakkan secara kekal itu akan memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air, terutama ketika berlaku gangguan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menghubungi pihak berkaitan untuk kerja-kerja pengisian semula sekiranya bekalan air dalam tong berkurangan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan isu bekalan air di Kampung Apam, Pasir Mas yang terputus sebelum ini berjaya diselesaikan selepas penyerahan telaga tiub oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tambah beliau, penambahbaikan bekalan air di Kelantan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang tahun 2030 apabila semua projek tangki air utama siap dilaksanakan.

“Kesemua tangki kita dijangka siap sekitar 2028 hingga 2030. Sebab itu saya letakkan sasaran 2030 sebagai tempoh bekalan air bersih di Kelantan mencukupi sepenuhnya.

“Ketika itu kita mampu menghasilkan sebanyak 880 juta liter air sehari, melebihi keperluan semasa rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui buat masa ini kapasiti pengeluaran air di negeri itu masih belum mencukupi selain dibebani isu NRW yang menyebabkan gangguan bekalan terus berlaku di beberapa kawasan.

Mengulas isu penukaran paip lama, Dr Izani berkata Kelantan hanya menerima kelulusan menggantikan kira-kira 150 kilometer paip setahun daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Menurut beliau, walaupun lebih 3,000 kilometer paip lama masih perlu diganti bagi mengatasi NRW, kuasa meluluskan projek itu bukan berada di bawah kerajaan negeri atau AKSB.

“Kita mohon setiap tahun supaya lebih banyak paip dapat ditukar, tetapi keputusan akhir berada di pihak SPAN dan Suruhanjaya Air,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Lamine Yamal ‘Versi Kelantan’ Curi Perhatian Ketika Tayangan Akhir Piala Dunia
|
Bukan sahaja aksi final Piala Dunia FIFA menjadi tumpuan,…
Kelantan Kini Pengeluar Mangan Ketujuh Terbesar Dunia
|
Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Kelantan kini berada pada…
Kelantan Roboh Premis Dan Tiga Rumah Haram Dibina Etnik Rohingya di Tanah Merah
|
Kerajaan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sebuah premis dan tiga…
Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!