Kebakaran Sekolah Di Bachok: PM Arah Pemulihan Segera, KPM Salur RM100,000, TMB Umum Sumbangan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan pemulihan segera dilakukan terhadap blok bangunan Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Muhammadiah di Bachok, Kelantan yang musnah dalam kebakaran pada Ahad lalu.

Menerusi kenyataan di media sosial, beliau berkata arahan sudah diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta agensi berkaitan bagi menyegerakan langkah pemulihan secara menyeluruh.

Menurut Anwar, kejadian itu disifatkan sebagai ujian besar buat warga sekolah, namun beliau mahu sekolah berkenaan kembali berfungsi seperti biasa secepat mungkin.

“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar dan kelancaran pembelajaran yang terjejas akibat kejadian tersebut.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini yakni soal keselamatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KPM bersetuju memperuntukkan RM100,000 bagi kerja pembersihan dan pembaikan asas termasuk pendawaian elektrik serta penyambungan bekalan air di sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peruntukan awal itu merupakan langkah segera bagi membolehkan sekolah kembali beroperasi, selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta warga sekolah terus terpelihara.

“Pada waktu ini, premis sekolah telah dikosongkan bagi membolehkan penilaian keselamatan dilaksanakan.

“Guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, pasukan kaunselor Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan turut digerakkan bagi menjalankan program sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah.

Sementara itu, Yayasan Kelantan Darulnaim menyalurkan sumbangan kebajikan sebanyak RM250 kepada setiap pelajar yang terjejas dalam kebakaran asrama sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban pelajar dan membantu memenuhi keperluan segera mereka.

“Takziah diucapkan kepada keluarga pelajar, pihak guru dan pentadbir sekolah atas kejadian itu.

“Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan serius, sekali gus disyukuri semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Sumber: Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Lelaki Ditemukan Maut Dengan Kesan Tikaman Dalam Bilik Mandi Di Kota Bharu
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan…
Kerajaan Kelantan Tegas Terhadap Perlombongan Haram Selepas Tragedi Di Jeli
|
Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap…
Laluan Jalan Lojing – Gua Musang Kini Dibuka Semula Kepada Semua Kenderaan
|
Laluan FT185 Seksyen 107.60 Jalan Lojing – Gua Musang…
45 Rumah Di Pasir Mas Dikesan Buat Sambungan Haram Bekalan Air
|
Sebanyak 45 rumah di kawasan perumahan Prima Lubok Jong,…
Penoreh Getah Dipenjara 12 Bulan Cederakan Anggota Polis Di Gua Musang
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh…
Empat Motosikal Polis Trafik Musnah Dalam Kebakaran Di IPD Pasir Puteh
|
Empat motosikal polis trafik musnah dalam satu kebakaran yang…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!