Sekurang-kurangnya tujuh kapal milik syarikat Malaysia dijangka dapat belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam beberapa hari lagi walaupun ketegangan di rantau itu semakin memuncak, selepas Iran memberi jaminan laluan akan dibenarkan.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, Tehran telah dimaklumkan mengenai kehadiran kapal-kapal Malaysia di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan strategik tersebut.
“Kami menerima maklumat daripada menteri luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan mahu melalui.
“Kami telah mempertimbangkan perkara itu, dan insya-Allah mereka akan melalui. Tiada masalah kerana Malaysia adalah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat itu,” katanya dalam temubual eksklusif bersama New Straits Times di Kedutaan Iran di Kuala Lumpur, semalam.
Valiollah turut menegaskan kapal Malaysia tidak akan dikenakan sebarang caj atau tol untuk melalui Selat Hormuz.
“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas melalui). Kami tidak akan mengenakan bayaran,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia sedang menunggu pelepasan untuk melalui Selat Hormuz.
Kapal tersebut terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Berhad, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.
Menurut Mohamad, kapal-kapal itu tidak ditahan, sebaliknya hanya menunggu “masa selamat” serta isyarat rasmi untuk meneruskan pelayaran. Dilaporkan empat kapal membawa muatan minyak mentah.
Sekatan pergerakan kapal di Selat Hormuz berlaku selepas Iran menghadkan laluan di kawasan itu, yang merupakan laluan penting dunia di mana kira-kira satu perlima bekalan minyak global biasanya melalui selat berkenaan.
Iran bertindak demikian sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel kira-kira sebulan lalu.
Bagaimanapun, Valiollah menegaskan Selat Hormuz masih terbuka untuk perkapalan antarabangsa dan menolak dakwaan bahawa laluan tersebut ditutup sepenuhnya.
Beliau berkata akses kini hanya disekat secara terpilih, khususnya bagi negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran.
“Saya mahu tekankan: Selat Hormuz tidak ditutup. Ia disekat untuk sesetengah pihak, bukan semua,” katanya.
Tambah beliau, negara sahabat masih dibenarkan melalui selat tersebut, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran.
Dalam masa sama, beliau menolak kemungkinan campur tangan tentera laut asing di kawasan itu selepas laporan menyebut Amerika Syarikat cuba mendapatkan sokongan negara anggota NATO untuk mengiringi kapal melalui selat berkenaan.
Valiollah berkata tidak ada tindak balas bermakna daripada NATO, selain menyifatkan sebarang kehadiran tentera asing akan dianggap sebagai sokongan terhadap tindakan agresif Amerika Syarikat.
Menyentuh isu kenaikan harga bahan api global, beliau berkata Iran selama ini tidak pernah menutup Selat Hormuz walaupun berdepan sekatan sejak puluhan tahun kerana tidak mahu memberi kesan buruk kepada pasaran dunia.
“Iran telah dikenakan sekatan selama 47 tahun, tetapi kami tidak pernah menutup Selat Hormuz. Kami boleh melakukannya, tetapi kami tidak buat.
“Jika kami tutup, orang di seluruh dunia akan menderita. Kami ada masalah dengan AS, tetapi kami tidak mahu masalah itu merebak kepada negara lain atau pasaran global,” katanya.
Namun beliau membayangkan situasi semasa sudah berubah dan menyifatkan negara yang menyerang Iran sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak.
“Tetapi sekarang ia berbeza. Jika seseorang menyerang rumah anda dan kemudian mahu menggunakan selat anda, anda akan kata tidak,” katanya.
Sumber: NST
SHARE:
